TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup kelapa ke Thailand selepas merampas 82,000 kilogram (kg) buah itu dalam serbuan berasingan di sini, Khamis lalu.
Rampasan kelapa yang membabitkan nilai keseluruhan RM410,000 itu dilakukan sepasukan anggota Batalion 8 PGA, di Jalan Pulau Ular Pengkalan Kubor dan Kampung Simpangan menerusi Op Taring Wawasan.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, dalam serbuan pertama, rampasan dilakukan selepas pihaknya menahan sebuah treler yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan pada pukul 2.30 petang di Jalan Pulau Ular Pengkalan Kubor, di sini.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas sebuah treler jenis Volvo mendapati lebih 41,000kg buah kelapa ditemukan di belakang lori tersebut tanpa dokumen yang sah.
“Pemeriksaan lanjut menahan seorang lelaki berumur 38 tahun yang dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup buah kelapa tersebut ke negara jiran. Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM 205,000,” katanya.
Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata, dalam serbuan kedua, pihaknya menahan sebuah treler jenis Volvo yang dipandu dalam keadaan mencurigakan pada pukul 2 petang di Kampung Simpangan, di sini.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas treler berkenaan mendapati lebih 41,000kg buah kelapa dijumpai di belakang lori tersebut tanpa dokumen yang sah.
“Seorang lelaki berumur 40 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup buah kelapa tersebut ke negara jiran turut ditahan. Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM 205,000,”katanya. – UTUSAN