SEPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang hari ini melupuskan barang kes membabitkan mesin bitcoin, rokok dan minuman keras yang dirampas bagi tempoh 2021 hingga tahun ini dengan nilai anggaran RM155,833.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pelupusan barang kes Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sepang itu membabitkan 14 kes rampasan mesin bitcoin, dua kes rampasan rokok dan satu kes minuman keras.
“Keseluruhan rampasan mesin bitcoin sebanyak 541 unit dengan nilai RM108,200, manakala rokok pelbagai jenama yang dirampas berjumlah 646 karton dianggarkan bernilai RM24,008.
“Minuman keras yang dilupuskan pula berjumlah 172 botol dan 67 tin terdiri daripada pelbagai jenama dengan nilai kira-kira RM23,625,” katanya menerusi sidang akhbar selepas majis pelupusan barang kes IPD Sepang di sini hari ini.
Menurut Norhizam, arahan pelupusan barang kes telah diperolehi dari Mahkamah Sepang di bawah Seksyen 406A Kanun Prosedur Jenayah.
Jelas beliau, bagi barang kes mesin melombong bitcoin, pelupusan dijalankan dengan cara menghancurkan mesin-mesin tersebut secara manual, manakala cecair minuman keras akan diasingkan secara kimia sebelum dilupuskan dengan pemeruapan dan botol-botol serta tin akan dikitar semula.
Sementara itu, katanya, bagi rampasan rokok kesemua barang kes tersebut akan dibakar di dalam kebuk pembakaran.
“Proses pelupusan pada hari ini dijalankan oleh sebuah syarikat yang menerima pensijilan dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara untuk menjalankan pelupusan bagi aset-aset kerajaan dan pelupusan yang dilakukan selari dengan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672),” katanya. – UTUSAN