GOPENG: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) memperuntukkan kira-kira RM40 juta untuk menarik taraf dan membaiki pulih tabika kategori usang kendalian agensi itu bermula Februari tahun depan sebagai langkah pro-aktif bagi memastikan keselamatan pelajar.
Ketua Pengarah Kemas, Datuk Hanafiah Man berkata, setelah turun di beberapa negeri, mulai tahun depan agensi itu telah mendapat peruntukan kira-kira RM40 juta untuk menarik taraf dan membaik pulih tabika-tabikanya di seluruh negara.
“Keutamaan kita berikan kepada bangunan-bangunan yang telah agak berusia kerana ingin memastikan anak-anak yang berada di tabika selamat dalam mengikuti pengajian mereka.
“Buat masa ini semua negeri sedang menyiapkan data akhir tabika-tabika yang terlibat untuk naik taraf dan baik pulih dan Insya-Allah bermula pada awal Februari (tahun depan),” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Perjumpaan Dato Ketua Pengarah bersama staf KEMAS Negeri Perak, AKKSI & AKKGO di Dewan Utama PKM KEMAS Gopeng & AKKGO di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Kemas Perak, Taufik Mohd Yusof.
Mengulas lanjut, Hanafiah berkata, kira-kira 60 peratus tabika Kemas dikategorikan below standard dari segi kesesuaian bangunan untuk pelajar.
“Kemas (tabika) ini dah lama, nak kata usang bukan usang sangat sehingga tidak selamat tapi dia kira below standard dari segi kesesuaian bangunan untuk anak-anak ini boleh dikatakan.
“Hampir 60 peratus juga walau bagaimanapun dengan peruntukan yang telah diluluskan pada tahun depan kita akan berikan fokus kepada tabika yang memerlukan baik pulih dan naik taraf bangunan dan penyelengaaraan,” katanya.
Menurutnya, terdapat kira-kira 10,600 tabika Kemas di seluruh negara dengan 4,300 daripadanya ditumpang agensi itu di balai raya, surau, masjid selain premis yang disewa.
“Banyak pandangan yang kami terima keadaan yang tidak selesa dan kebanyakan nya ialah tabika Kemas yang menumpang,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, peruntukan telah diluluskan sebanyak RM5.9 juta untuk membaiki pulih tabika Kemas yang terjejas kerana banjir di seluruh negara.
“Peruntukan RM5.9 juta ini telah diluluskan kepada tabika-tabika yang terjejas kerana banjir untuk kerja-kerja baik pulih khususnya aspek pendawaian dan keselamatan kerana sesi persekolahan masih lagi berjalan,” katanya. – UTUSAN