KUALA LUMPUR: Institusi kewangan dalam negara berjaya menyekat RM302 juta transaksi tidak sah dan mencurigakan sepanjang tempoh antara Januari hingga September.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata, ia susulan pelaksanaan lima langkah pencegahan utama oleh institusi kewangan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam memastikan keselamatan pengguna perbankan dalam talian terjaga.
“Sejak September 2022, institusi kewangan berjaya menyekat transaksi tidak sah dan mencurigakan bernilai RM383 juta bagi 2023 dan RM302 juta setakat September tahun ini.
“Trend kes penipuan pancingan data dan perisian hasad yang dilaporkan kepada BNM juga menunjukkan tren penurunan sebanyak 60 peratus,” katanya dalam Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Bobbey Suan yang bertanya tentang jaminan kerajaan berhubung keselamatan pengguna melibatkan urusan perbankan dalam talian.
Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, BNM akan terus berusaha mengukuhkan lagi keselamatan perbankan internet dan mudah alih dengan melaksanakan langkah tambahan dengan memperkasakan keupayaan institusi kewangan dalam mengesan transaksi tidak sah dan mencurigakan.
Tambahnya, BNM juga akan mengambil tindakan segera dengan mengarahkan institusi perbankan yang terbabit dengan insiden gangguan perkhidmatan perbankan dalam talian supaya menentukan punca utama gangguan.
Katanya, bank pusat juga telah mengarahkan institusi perbankan terbabit untuk menetapkan langkah pembetulan dan pencegahan yang sesuai bagi mengelakkan isu yang sama berulang.
“BNM turut membuat pemantauan rapi untuk memastikan institusi perbankan yang terlibat memulihkan perkhidmatan perbankan seperti biasa secepat mungkin.
“Lanjutan daripada penilaian ke atas punca utama dan impak gangguan yang dikemukakan, BNM mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengenakan penalti monetari pentadbiran terhadap dua institusi perbankan pada 29 Julai lalu di atas pelanggaran peruntukan undang-undang di bawah seliaan BNM,” katanya. – UTUSAN