KUALA LUMPUR: Dalam usaha membantu pekebun kecil getah menceburi bidang keusahawanan dan memperoleh pendapatan yang signifikan, RISDA memperkenalkan kedai serbaneka, RisSMart24.
Selain melahirkan usahawan, kedai serbaneka itu dilihat mampu menjadi platform pemasaran kepada produk-produk usahawan bimbingan agensi tersebut dan bersaing dengan pemain perniagaan sedia ada dalam pasaran.
Cabang baharu perniagaan di bawah Kumpulan RISDA Holdings diwujudkan setelah melihat prestasi sektor peruncitan negara serta pertumbuhan positif sektor perdagangan borong dan runcit dengan kadar 3.8 peratus pada September lalu.
Dalam satu kenyataan semalam, RISDA berkata, pengenalan RisSMart24 berpotensi menjadi pemangkin utama kepada kejayaan inisiatif baharu dalam memajukan pekebun kecil getah.
RisSMart24 mula beroperasi sejak September lalu dan kini mempunyai lima cawangan di Lembah Klang yang menyediakan hampir 4,000 jenis produk. Lima cawangan itu ialah di UOA Business Park Glenmarie, Jalan Telawi Bangsar, Seksyen 7 Shah Alam, The Netizen Cheras dan Teras Jernang Bangi.
Sebanyak 164 produk hasil usahawan bimbingan RISDA turut menjadi barisan produk di setiap cawangan.
Selain produk permintaan ramai dan produk usahawan RISDA, RisSMart24 juga memasarkan produk sejuk beku seperti skewer yang berasaskan daging wagyu, daging kambing serta daging lembu tempatan hasil keluaran RisSMart Butchery.
“Semua cawangan ini disokong oleh ekosistem perniagaan strategik melalui penyediaan gudang penyimpanan dan pengedaran produk yang terletak di Meru, Klang,” kata kenyataan itu.
Ia telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Kumpulan RISDA Holdings akan menambah enam lagi cawangan dalam masa terdekat sepertiss di Ampang, Damansara dan Cyberjaya. – UTUSAN