“INI kenyataan terakhir saya berkenaannya. Bagi saya, dia sudah tiada lagi dalam memori.”
Demikian respons pelakon dan pelawak, Didie Alias ketika mengulas mengenai persahabatannya dengan Enot atau Aliza Abdullah yang dihujung tanduk.
Bagi Didie, Enot sudah memilih jalan yang berbeza dengannya. Sebagai orang yang pernah rapat, dia meminta maaf kerana gagal membimbing pelakon itu seperti yang pernah diharapkan suatu masa dahulu.
Didie berkata, belakangan ini ada beberapa individu yang mengirim sebuah video luahan perasaan kerinduan Enot yang didakwa ditujukan kepada seorang pengkid.
“Ramai yang hantar video itu kepada saya, saya tidak tahu mahu cakap apa. Saya sudah beri sehabis mungkin. Bagi saya, dia sudah tiada lagi dalam memori. Itu sifat saya.
“Sudah habis, walaupun seseorang itu pernah jadi kesayangan yang ditatang bagai minyak yang penuh. Pernah dianggap macam kakak, emak dan sahabat yang dia mahu saya jaganya.
“Saya sudah cuba yang terbaik. Mungkin saya gagal dan saya minta maaf,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Enggan terus berasa kecewa dan memikirkan cara menyelamatkan persahabatan, pelakon Cukup Derita Itu membiarkan Enot memilih jalan hidupnya sendiri.
Walaupun pernah berjanji akan menguruskan jenazah masing-masing hingga ke liang lahad, Didie bagaimanapun reda kerana Enot mempunyai anak yang boleh mengambil tanggungjawab itu.
“Jika dia mahu kehidupan baru, ini pilihan dia. Dia bukan umur 20-an lagi. Dia sudah besar.
“Dia sudah masuk di usia yang sepatutnya bahagia bersama cucu, anak-anak dan kehidupan bersama yang satu-satunya di atas sana, Allah.
“Sama juga saya, hari ini mungkin bercakap dengan anda tapi esok lusa mana tahu Allah turunkan takdir sudah berakhir usia.
“Saya harap dia jaga diri sebaik mungkin dan kerana saya sudah ‘tutup buku’. Bukan bererti saya tidak mahu, tapi bagi saya dia sudah tiada, habis,” tambahnya.
Didie walau bagaimanapun tidak menafikan sesekali terbit perasaan rindu mengenangkan memori susah senang yang dilaluinya bersama Enot.
“Memang rindu momen itu. Kita susah senang sama-sama. Kadang nampak sahaja dia ‘lalu’ di TikTok sedang buat siaran langsung.
“Tipulah tidak rindu terutama kepada anaknya. Sebab saya mahu anak dia jadi seperti anak saya, kerana anaknya bijak.
“Saya harap dia pikul tanggungjawab untuk anak dia juga. Seperti mana saya buat yang terbaik untuk anak-anak saya.
“Saya sudah ada laluan sendiri untuk dicapai tahun hadapan. Tahun ini sudah dihujung, Alhamdulillah ada yang berjaya saya capai. Dia tidak boleh ikut saya,” katanya.
Terdahulu, episod persahabatan Enot dan Didie menjadi bualan umum apabila masing-masing saling meluahkan kekecewaan terhadap satu sama lain.
Didie terkilan apabila Enot didakwa menjalin hubungan dengan jantina sejenis.
Menafikan perkara itu, Enot berkata dia hanya berkawan dengan individu tersebut.-UTUSAN