Remaja pukul adik perempuan dihantar ke Henry Gurney - Utusan Malaysia

Remaja pukul adik perempuan dihantar ke Henry Gurney

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengakibatkan kecederaan terhadap adik perempuannya, Oktober lalu.

Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan menjatuhkan hukuman berkenaan setelah tertuduh, Mohamad Fazeli, 18, membuat pengakuan atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas adiknya berusia 12 tahun pada pukul 9 pagi, 13 Oktober lalu, di rumah mereka di Teratai Mewah Apartment, Setapak, di sini. 

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua pula, pada masa, tarikh dan tempat sama, Fazeli dengan sengaja telah menakutkan mangsa dengan cara mengugut.

Pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa mencadangkan tertuduh dihantar ke Sekolah Henry Gurney sehingga mencapai usia 21 tahun sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, peguam bela, Edwin Tomas yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya kerana telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

“Tertuduh merupakan pesalah muda yang telah mengaku bersalah dan secara tidak langsung telah menjimatkan masa dan kos mahkamah. Dia juga berjanji tidak akan mengulangi kesalahannya lagi. Dimohon agar mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadapnya” katanya.

Mahkamah kemudian memutuskan untuk menghantar tertuduh ke Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun.

Menurut fakta kes, insiden tersebut berlaku apabila mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu telah ditendang oleh tertuduh yang juga abang sulungnya di bahagian muka selepas berlaku perselisihan faham berkaitan telefon bimbit.

Difahamkan, tertuduh telah memaksa mangsa membuka kata laluan telefon bimbit miliknya. Oleh kerana enggan menurut arahan itu, mangsa telah dimarahi sebelum tertuduh bertindak menendang muka mangsa di sebelah kanan sehingga bengkak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya