KOTA BHARU: Kejadian rogol melibatkan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun adalah satu daripada tujuh kejadian jenayah yang dilaporkan berlaku di tiga daerah iaitu Machang, Kota Bharu dan Pasir Mas sepanjang banjir melanda.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kejadian rogol itu dilaporkan berlaku dalam stor di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Bharu pada 2 Disember lalu kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Katanya, mangsa dikatakan baru berkenalan dengan suspek yang berusia 23 tahun dan bekerja sebagai buruh semasa berada di PPS.
“Kejadian diketahui dan dilihat oleh abang mangsa yang kemudian membuat laporan polis sebelum suspek ditahan pada 6 Disember lalu dan direman tujuh hari.
“Pertuduhan telah dibuat di Mahkamah Syariah Kota Bharu pada 12 Disember lalu yang mana suspek mengaku tidak bersalah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini semalam. – UTUSAN