SHAH ALAM: Segala reformasi yang ‘dijunjung’ Pakatan Harapan (PH) sewaktu menjadi pembangkang dahulu telah ‘ditalqinkan’ oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang kini menjadi Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan.
Ketua ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Hilman Idham berkata, sehingga hari ini tiada reformasi yang dilakukan, maka sebab itu, Bersatu perlu menjadi pembangkang yang konstruktif bagi merampas kembali kedudukan untuk kembali ke Putrajaya dan memerintah semula selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Saya nak tegaskan semua masalah ini berlaku kerana seorang individu yang namanya Anwar Ibrahim, Perdana Menteri hari ini, Perdana Menteri telah mentalkinkan reformasi semata-mata mempertahankan kedudukan beliau sebagai perdana Menteri.
“Sebab itu, ARMADA berikrar bahawa menjadi kewajipan ARMADA, Srikandi, Srikandi Muda, sayap bersekutu dan seluruh perwakilan wajib untuk tumbangkan rejim Madani. Kita akan bawa suara lebih konstruktif, kita tak perlu terikut gaya mereka, kita hanya perlu menjadi semak dan imbang yang baik, tidak perlu terbalikkan kereta polis, tetapi kita hanya perlu terbalikkan kerajaan putrajaya,” katanya ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2024, di sini, hari ini.
Muhammad Hilman dalam masa yang sama turut berkata, PAT Bersatu ini perlu dijadikan medan untuk bermuhasabah bagi mengkuhkan kedudukan dalaman parti, dan tidak perlu mencontohi gaya PH ketika menjadi pembangkang.
“Sebab itu insyaAllah kalau jadikan medan ini sebagai medan muhasabah, kita yakin kita akan kembali ke Putrajaya, kita ada semua pakej, kita faham permasalahan rakyat, kita ada dasar dan polis, kita juga ada pemimpin yang ditakuti dan digeruni, mereka faham pimpinan kita kompeten dan kredibiliti mentadbir putrajaya,” ujarnya. – UTUSAN