RCI Batu Puteh: Tidak timbul soal dendam - Anwar

RCI Batu Puteh: Tidak timbul soal dendam – Anwar

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai ketika meluangkan masa menjamu selera di Medan Selera Presint 11,Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tidak timbul soal dendam berhubung laporan dikeluarkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan.

Perdana Menteri malah menasihatkan pembangkang supaya tidak memainkan isu ‘dendam’ itu.

Beliau juga menegaskan bahawa pasukan petugas khas berkenaan ditubuhkan pada 2021 iaitu ketika mereka (pembangkang) berada di posisi kerajaan sebelum ini.

“Pasukan khas itu dibuat sebelum saya pun. Itu masa Ismail Sabri (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) di mana Menterinya termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Dia (mereka) ada buat (pasukan petugas khas) dan finding (dapatan mengenai kes Batu Puteh) lebih teruk lagi. Jadi, tak usah main,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Darul Ulum, SMKA Putrajaya, Presint 11, di sini hari ini.

Anwar pada masa sama mempersoalkan, jika apa yang dilakukan itu bersifat dendam, apakah pula bentuk tindakan yang dilakukan oleh pihak pembangkang ketika itu terutama ketika menubuhkan pasukan petugas khas.

Katanya, isu Batu Puteh ini adalah membabitkan kedaulatan dan wilayah negara ini.

“Ini soal wilayah dan mana boleh ada mana-mana negara yang menginzinkan mudah begitu serah. Jadi prinsipnya begitu.

“Saya tak cadang apa-apa (sebarang keputusan lanjut mengenai RCI Batu Puteh). Itu serah kepada Peguam Negara,” katanya.

Sebelum ini, pihak pembangkang menyifatkan laporan RCI Batu Puteh itu satu agenda politik dendam khususya terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum ini juga, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said membuka pekung pembangkang apabila mendedahkan mereka turut bersetuju supaya pasukan petugas khas berkenaan isu Pulau Batu Puteh ditubuhkan ketika berada di posisi kerajaan sebelum ini.

Menurut Ahli Parlimen Pengerang itu, ia dilakukan ketika pembangkang menjawat jawatan menteri semasa Kabinet Perdana Menteri Kesembilan.

Media sebelum ini melaporkan, RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Dr Mahathir.

Prosiding diusulkan itu susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Perkara berkenaan antara yang disyorkan RCI berkenaan dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya