KUALA LUMPUR: Beberapa ahli pembangkang menganggap Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu tuntutan Pulau Batu Puteh cacat susulan ia tidak lengkap apabila sebanyak 47 muka surat laporan tersebut dipadamkan.
Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, laporan tersebut tidak sempurna dan tidak memberi maklumat yang sepenuhnya kepada ahli-ahli Dewan Rakyat untuk membahaskan perkara ini demi kepentingan negara.
Malah lebih teruk lagi, kata beliau, laporan ini mempunyai satu niat buruk terhadap individu tertentu yang menjadi sasaran kepada pihak berkuasa sekarang apabila direkodkan sebanyak 47 muka surat dipadamkan.
Tambah beliau, keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan permohonan tafsiran keputusan Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) adalah sebulat suara oleh ahli Kabinet pada ketika itu.
“Seorang yang saya tidak kenal, tidak jumpa dan tidak tahu siapa telah meletakkan dokumen di pejabat saya beberapa hari yang lepas.
“Dokumen ini bertajuk Minit Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari Rabu 23 Mei 2018 di Pejabat Perdana Menteri Putrajaya dan kehadirannya Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan 13 orang Kabinet pada masa itu.
“Dalam keputusan walaupun terdapat agenda lain, jemaah menteri bersetuju supaya permohonan semakan dan permohonan tafsiran keputusan keputusan Batu Puteh, Middle Rocks dan South Ledge oleh Malaysia di hadapan ICJ tidak diteruskan. Ini adalah keputusan Kabinet.
“Bagi saya ini adalah satu minit mesyuarat Kabinet yang sah sehingga ia tidak dinafikan sebaliknya,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, tiga bekas anggota Jemaah Menteri ketika pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran ICJ mengenai kedaulatan Batu Puteh dibuat sendiri oleh bekas Perdana Menteri itu tanpa merujuk kepada Kabinet.
Perkara itu ditegaskan oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Mohamad Sabu, dan Anthony Loke Siew Fook dalam kenyataan bersama yang menyatakan Dr. Mahathir sudah memutuskan perkara itu melalui surat bertarikh 21 Mei 2018 kepada Peguam Cara Negara.
Ketika itu, Dr. Wan Azizah merupakan Timbalan Perdana Menteri, sementara Mohamad adalah Menteri Pertahanan dan Anthony Loke pula Menteri Pengangkutan.
“Keputusan itu dibuat secara bertulis oleh Dr. Mahathir sendiri tanpa merujuk kepada Jemaah Menteri.
“Malah, keputusan tersebut turut dimaklumkan kepada pihak Singapura pada pagi 23 Mei 2018 sebelum mesyuarat pertama Kabinet berlangsung,” kata ketiga-tiga pemimpin itu dalam kenyataan tersebut. – UTUSAN