RCI Batu Puteh: Mereka berbohong, saya malu - Dr Mahathir

RCI Batu Puteh: Mereka berbohong, saya malu – Dr Mahathir

MAHATHIR Mohamad ketika gimik menyusun barang ke dalam kotak bantuan pada program misi kemanusiaan pasca banjir 2024/2025 bagi negeri Kedah dan Perlis di Yayasan Kepimpinan Perdana , Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui malu dengan kenyataan dikeluarkan bekas tiga anggota Kabinetnya berhubung isu Pulau Batu Puteh.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ketiga-tiga individu itu ternyata berbohong selepas mendakwa keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran berhubung isu Pulau Batu Puteh dibuat tanpa merujuk kepada Jemaah Menteri.

“Saya rasa malu, kerana orang ini duduk di bawah saya dulu masa dalam Kabinet saya tapi mereka membohong,” katanya ketika ditemui selepas melepaskan konvoi misi bantuan pasca banjir Kedah dan Perlis, di sini hari ini.

Dr Mahathir menegaskan, keputusan berkaitan Pulau Batu Puteh itu dibuat mengikut peraturan dan undang-undang serta tidak bersendirian.

Beliau berkata, pendedahan minit mesyuarat pada 23 Mei 2018 jelas menyatakan dakwaan dibuat tiga bekas anggota Kabinetnya itu sama sekali tidak benar.

Sebelum ini, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam satu kenyataan memaklumkan Dr Mahathir membuat keputusan berhubung Pulau Batu Puteh itu tanpa merujuk kepada Jemaah Menteri.

Menerusi kenyataan bersama dikeluarkan tiga individu itu, perkara itu turut dimaklumkan kepada pihak Singapura pada pagi 23 Mei 2018 sebelum Mesyuarat Kabinet pertama diadakan.

Menurut kenyataan tersebut lagi, selang dua hari setelah keputusan dibuat, Dr Mahathir kemudiannya memaklumkan kepada Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet.

Dalam pada itu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini mendedahkan beliau ada menerima dokumen berupa salinan minit mesyuarat bertarikh 23 Mei 2018 berhubung keputusan Jemaah Menteri mengenai kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu mendakwa, setelah meneliti dokumen terbabit, beliau mendapati ia menyatakan kehadiran Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, bersama 13 menteri pada mesyuarat Jemaah Menteri bagi memutuskan perkara itu pada Mei 2018.

Ditanya sama ada semua bekas anggota Kabinetnya itu perlu dipanggil sama memberi keterangan berhubung isu itu, Dr Mahathir berkata, jika beliau juga dipanggil, maka mereka juga sepatutnya dipanggil beri keterangan yang sama.

Sebelum ini, Dr Mahathir ketika sidang media baru-baru ini menyifatkan syor siasatan jenayah terhadapnya berhubung RCI Batu Puteh sebagai langkah bermotifkan politik untuk menjatuhkan reputasi beliau.

Tegasnya, keputusan untuk menarik balik permohonan semakan dan tafsiran Pulau Batu Puteh pada 23 Mei 2018 bukan dibuat oleh beliau secara bersendirian, tetapi diputuskan bersama dalam Mesyuarat Kabinet.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya