PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoalkan kenyataan tiga bekas menteri Kabinet sewaktu pentadbiran beliau berkaitan isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Dalam satu kenyataan melalui peguamnya, Rafique Rashid, Dr. Mahathir berasa ‘hairan’ dengan alasan diberikan tiga bekas menteri terbabit yang mendakwa tidak dapat memberikan pandangan dalam mesyuarat Kabinet berhubung isu berkenaan kerana ia cuma makluman.
Dr. Mahathir turut mempersoalkan keperluan beliau untuk meminta anggota Kabinet (ketika itu) menyatakan pendapat mereka (berkenaan isu dibangkitkan) dalam mesyuarat tersebut.
“Adakah mereka perlu diberitahu bahawa mereka harus memberi pendapat atau pandangan, baharu mereka akan berbuat demikian? Jika pandangan saya terhadap isu tersebut salah atau tidak dipersetujui, mengapa mereka tidak membangkang atau memberi pendapat?
“Setiap perkara yang dimaklumkan dalam mesyuarat Kabinet memerlukan perhatian dan pandangan daripada setiap anggota Kabinet.
“Jika mereka memilih untuk berdiam diri atau tidak menyatakan rasa tidak bersetuju, maka ia diterima sebagai persetujuan mereka terhadap apa yang dimaklumkan atau dibentangkan,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, tiga bekas anggota Jemaah Menteri terbabit menegaskan, keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai kedaulatan Batu Puteh dibuat sendiri oleh bekas Perdana Menteri itu tanpa merujuk kepada Kabinet.
Perkara itu ditegaskan oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Mohamad Sabu, dan Anthony Loke Siew Fook dalam kenyataan bersama yang menyatakan Dr. Mahathir sudah memutuskan perkara itu melalui surat bertarikh 21 Mei 2018 kepada Peguam Cara Negara.
Ketika itu, Dr. Wan Azizah merupakan Timbalan Perdana Menteri, sementara Mohamad adalah Menteri Pertahanan dan Anthony pula Menteri Pengangkutan.
Dalam kenyataan itu juga, ketiga-tiga pemimpin tersebut menyatakan, keputusan tersebut hanya dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dua hari kemudian dalam mesyuarat Kabinet pertama pada 23 Mei 2018 tetapi tidak dibincangkan untuk mendapat persetujuan bersama.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, di bawah konsep kolektif Kabinet, mereka sepatutnya memikul amanah untuk memberi pendapat dalam setiap perkara yang dibincangkan.
“Adakah mereka mahu memikul tanggungjawab sebagai satu tanggungjawab kolektif Kabinet? Jika tidak, maka mereka telah gagal melaksanakan amanah yang diberikan semata-mata kerana tidak mahu memberikan pandangan,” katanya.
Selain itu, Dr. Mahathir berkata, minit mesyuarat Kabinet ketika itu mencatatkan bahawa semua anggota termasuk tiga bekas menteri tersebut bersetuju dengan pandangan beliau mengenai isu Pulau Batu Puteh.
Beliau turut mempersoalkan mengapa bekas anggota kabinet berkenaan hanya bersuara sekarang selepas beliau menjelaskan perkara sebenar mengenai isu itu.
“Amat menghairankan selama ini sejak 2018, mereka semua tidak berkata apa-apa, tetapi sebaik sahaja saya maklumkan perkara sebenar, kesemua mereka mengelak dan mengalih daripada mengambil tanggungjawab,” katanya. – UTUSAN