Raub dilanda banjir akibat kepala air serentak di Sungai Dong, Sungai Gali - Utusan Malaysia

Raub dilanda banjir akibat kepala air serentak di Sungai Dong, Sungai Gali

PASUKAN penyelamat membantu mengeluarkan mangsa dari kediaman yang terjejas banjir di Raub, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Pahang negeri terbaru dilanda banjir apabila 16 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini menempatkan 450 mangsa daripada 145 keluarga.

Difahamkan, punca utama kejadian banjir ini akibat kepala air yang turun lebih kurang serentak di Sungai Dong dan Sungai Gali di sini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pukul 10.51 malam ini.

“Antara PPS yang dibuka ialah Balai Raya Kampung Ulu Jelu yang menempatkan 87 mangsa, Balai Raya Kampung Pamah Rawas (lapan) dan Balai Raya Kampung Bukit Pampong (21).

“Selain itu, seramai 141 mangsa berlindung di PPS Masjid Kampung Pintu Padang, Dewan Lechar (78), Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang (98) dan  Balai Raya Kampung Peruas (17),” katanya di sini.

Tambah sekretariat itu, jumlah terkini mangsa di PPS turut sedang dikemas kini berikutan operasi pendaftaran banjir masih dilakukan.

“Antara PPS terlibat dalam operasi pendaftaran banjir yang masih dilakukan ialah Balai Raya Kampung Pamah Kulat, Balai Raya Kampung Kuala Keloi, Pusat Kegiatan Kemas Gali, Dewan Serbaguna Gali Hilir, Serbaguna Kampung Ulu Gali, Dewan Dato Seriwa Pasir Bayam, Masjid Bukit Pampong, Sekolah Kebangsaan Muhammad Jabar, Balai Raya Kampung Sungai Pasu dan Dewan Ulu Gali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN