Rasuah: Bekas pengarah Maritim Tanjung Sedili diarah bela diri

Rasuah: Bekas pengarah Maritim Tanjung Sedili diarah bela diri

MOHD. ZULFADLI Nayan diperintahkan membela diri atas tuduhan menerima rasuah sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Seksyen Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan bekas Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili membela diri atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM10,000, empat tahun lalu.

Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd. Zulfadli Nayan, 43.

“Setelah mendengar dan menimbang semua keterangan, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh membela diri,” katanya.

Peguam bela tertuduh, Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazali memberitahu pihaknya mencadangkan untuk memanggil antara tujuh hingga lapan saksi pembelaan.

Ahmad Kamal Arifin kemudian menetapkan tarikh prosiding pembelaan selama tujuh hari, iaitu 8, 13 dan 14 Januari, 17 dan 20 Februari serta 3 dan 4 Mac tahun depan serta memerintahkan jaminan terhadap tertuduh dilanjutkan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zander Lim Wai Keong.

Pada 23 Mei 2021, tertuduh yang kini digantung tugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Hubungan dan Koordinasi Antarabangsa di Ibu pejabat Maritim Malaysia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd. Zulfadli didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM10,000 daripada pemilik syarikat perkapalan, Wan Mohd. Fauzi Wan Kamaruddin di sebuah restoran di Jalan Yahya Awal, di sini pada pukul 10 malam, 2 Oktober 2020.

Mohd. Zulfadli didakwa menggunakan jawatannya ketika itu untuk tidak mengambil tindakan terhadap siasatan kapal MT Singa Gangsa milik Alamgala Resources Sdn. Bhd., yang ditahan KM Mulia, Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili pada 17 September 2020.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya