RANTAU PANJANG: Beberapa kampung kawasan rendah di Rantau Panjang kembali banjir apabila air sungai Golok melepasi paras bahaya hari ini.
Antara kampung yang dinaiki air ialah Lubok Stol dan Kampung Rahmat Kuala Kwong manakala di Kampung Gual Mekong, Atas Tandak dan Baroh Pial yang dilanda banjir semalam airnya semakin surut.
Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Rantau Panjang iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial.
Seorang penduduk kampung Lubok Stol, Sailawati Ali, 50, berkata, air mula melimpah di pekarangan rumahnya sedalam 0.5 meter sejak petang semalam.
“Air semakin naik tetapi agak perlahan disebabkan tiada hujan lebat hari ini. Ini kali kedua banjir berlaku di kampung ini selepas hampir tiga minggu banjir gelombang pertama surut,” katanya ditemui di rumahnya hari ini. – UTUSAN