PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat hari lahir kepada Presiden Timor Leste, Dr. José Ramos-Horta.
Perdana Menteri berkata, beliau mendoakan keselamatan buat Ramos-Horta yang merupakan seorang pejuang yang menegakkan kebebasan.
“Kepada rakan saya Presiden José Ramos-Horta Timor Leste, saya mengucapkan selamat hari lahir dan bertepatan dengan sambutan perayaan Krismas dan tahun baharu.
“Anda sudah menjadi kawan yang baik, anda juga telah menjadi pejuang yang tidak kenal lelah untuk kebebasan dan keadilan. Saya doakan anda dan negara Timor Leste selamat,” katanya menerusi satu rakaman video di Facebook, hari ini.
Selain itu, Anwar turut menyatakan harapan beliau supaya hubungan kedua-dua negara dan rakyat terus terjalin. – UTUSAN