ALOR SETAR: ALOR SETAR: Hujan dan ribut petir diramal melanda beberapa kawasan di negeri ini mulai hari ini sehingga Isnin, bagaimanapun dijangkakan tiada hujan lebat berterusan berlaku sepanjang tempoh berkenaan.
Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz berkata, tiada hujan diramalkan pada waktu pagi mulai hari ini hingga Jumaat ini, namun terdapat hujan dan ribut petir di kebanyakan tempat di kawasan pedalaman dan kawasan pantai pada sebelah petang dan malam.
“Sabtu ini diramal ribut petir berlaku pada sebelah pagi dan petang, manakala pada Ahad dan Isnin diramal hujan pada waktu pagi dan ribut petir di kebanyakan tempat di kawasan pedalaman pada waktu petang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menasihati orang awam sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Orang awam boleh merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial MET Malaysia untuk sebarang info berkaitan cuaca semasa.-UTUSAN