Ralat juga terpaksa tolak empat tawaran kerja - Adira Suhaimi - Utusan Malaysia

Ralat juga terpaksa tolak empat tawaran kerja – Adira Suhaimi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyanyi, Adira Suhaimi, 33, mengakui ralat kerana terpaksa membatalkan empat tawaran kerja yang sepatutnya dipenuhi, sekali gus mengecewakan penganjur.

Kata Adira, ia berikutan dirinya mengalami keletigan melampau sehingga terpaksa berkampung di hospital selama beberapa hari sebelum ini.

Bagaimanapun, Adira berkata, dia bersyukur kesemua pihak terbabit sangat memahami keadaan kesihatannya yang ditahan di wad selama lima hari bagi mendapatkan rawatan.

“Sebenarnya, selain ke hospital untuk melahirkan empat anak, saya tidak pernah duduk di wad. Tetapi insiden pengsan akibat letih ditambah demam ringan pada hari tersebut mengakibatkan tubuh saya tidak mampu bertahan sampai tumbang.

“Memang ralat kerana kecewakan banyak pihak termasuk orang yang mengundang serta tetamu. Empat ‘job’ yang terpaksa dibatalkan ini sudah dipersetujui beberapa bulan lalu.

“Saya sendiri tak jangka pengsan sampai buatkan semua ahli keluarga menangis dan risau. Mujur pihak yang saya bekerjasama sangat memahami, maafkan saya,” katanya ketika ditemui pada majlis makan malam, di sini, semalam.

Tambah Adira lagi, dia mula sedar ketika berada dalam ambulans yang membawanya ke sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya.

“Saya tak ingat apa-apa ketika kejadian. Apabila buka mata saya sudah ada dalam ambulan. Perasaan takut memang ada, lagipun itu juga pertama kali saya naik ambulan,” ujarnya.

Menurut Adira, pengalaman tersebut menjadi pengajaran agar mendapatkan rehat secukupnya selain mengetahui tahap kemampuan diri.

“Doktor ada cakap selain demam dan kurang sel darah merah, faktor keletihan melampau turut menjadi punca saya pengsan melihatkan kondisi saya yang lemah.

“Selama ini saya sangka saya ‘supermom’ yang boleh buat segala-galanya serentak kerana kalau cuti sehari pun saya mahu uruskan anak-anak sendiri.

“Kudrat saya ada, cuma badan tak mampu lagi hadap keletihan. Jadi selepas ini saya pastikan hari cuti saya berehat. Kalau saya tak sihat, saya tak boleh jaga anak-anak,” katanya yang mempunyai seorang pembantu rumah dan seorang pengasuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya