KOTA KINABALU: “Jangan masuk negara orang sebagai pelarian jika tidak ingin hidup kita sengsara di kemudian hari,”.
Demikian peringatan diberi kepada anak-anak Sabah yang bekerja di Korea Selatan dan negara-negara lain secara haram.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim memberi peringatan sebegitu selepas dua kejadian rakyat yang berasal dari Papar meninggal dunia semasa bekerja di Korea Selatan dalam tempoh dua bulan ini.
Kedua-dua kejadian melibatkan keluarga yang susah dan memerlukan bantuan dana awam untuk membawa pulang jenazah ke Sabah. Kos membawa pulang jenazah bukan murah, ia boleh mencecah puluhan ribu.
Beliau berkata, jika hendak bekerja di negara lain harus ikut peraturan ditetapkan di negara berkenaan agar pada kemudian hari tidak menyusahkan diri dan keluarga.
“Kita tahu memang banyak rakyat Sabah yang bekerja di Korea Selatan mahupun di negara lain. Kita menggalakkan mereka bekerja di luar kerana gaji ditawarkan lebih besar tapi, kita nasihatkan supaya ikutlah peraturan,” katanya.
Dalam kes terbaharu, jasad mendiang terpaksa ditahan di Korea Selatan hampir setengah bulan bagi proses dokumentasi dan sebagainya. Kasihan kepada ahli keluarga di sini yang terpaksa menunggua lama untuk mengebumikan jasad mendiang.
Pada 4 Disember lalu, jenazah Hanalin Datu Harun, 39, yang berasal dari Kinarut, Papar dibawa pulang ke Sabah selepas meninggal dunia di Hospital Asan Chungmu di Wilayah Chungcheong Selatan pada 24 November lalu.
Kemudian pada Rabu, jasad mendiang Olivia Richard, 46, yang meninggal dunia di bandar Andong Wilayah Gyeongsang Utara, Korea Selatan pada 4 Disember dibawa pulang ke Sabah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Libagu, Papar.
Kedua-dua kes turut menerima sumbangan dana daripada kerajaan negeri menerusi Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) dan pejabat Parlimen Papar. – UTUSAN