PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Noh Salleh, mendedahkan lagu Rahsia Tuhan yang menjadi runut bunyi filem Babah adalah lagunya yang paling memberi impak sepanjang 18 tahun dalam industri hiburan.
Menurut Noh atau Mohammad Noh Salleh, 39, ketika menciptakan lagu itu awal tahun ini, dia turut berhadapan dugaan apabila diuji dengan perpisahan dan kehilangan dua orang anak.
“Saya melalui macam-macam perkara terutama sebagai seorang bapa. Anak saya kena ambil dan dua orang anak saya meninggal.
“Semasa pengarah tawarkan (buat lagu) memang saya rasa macam ada persamaan jalan cerita filem ini. Ia sesuatu yang benar dan bukan lagu yang dibuat-buat dari kisah fiksyen. Ia sangat dekat dengan diri saya.
“Sebenarnya, setahun lalu penerbit filem ini, Nadia, ada tawarkan untuk buat lagu. Namun beberapa kali saya tolak.
“Ini kerana saya sukar mendapatkan mood dan rasa ikhlas yang tepat. Saya tidak mahu ia hanya lagu yang dibuat kerana disuruh,” katanya.
Noh berkata demikian menerusi sebuah video temu ramah bersama, Christy Ng, yang tular di TikTok.
Vokalis kumpulan Hujan itu bagaimanapun berjaya menuliskan lirik dan menyiapkan lagu Rahsia Tuhan dalam sehari, awal tahun ini.
Menurut Noh, Rahsia Tuhan telah menciptakan rekod baru untuknya sebagai penyanyi apabila lagu berkenaan bukan hanya tular, malah menyentuh hati pendengar daripada bangsa berbeza.
“Sepanjang 18 tahun penglibatan saya dalam industri hiburan, saya fikir inilah lagu paling memberi impak kepada peminat baru dan lama. Di ruangan komen semua berkongsi luahan hati, mereka bercerita kepada saya.
“Bangsa Cina pun datang kepada saya dan cakap suka lirik Rahsia Tuhan. Di sebuah festival, ada seorang gadis India muda, usia dalam 16 tahun muat naik video persembahan saya.
“Kapsyen video itu menyatakan dia hadir ke festival itu untuk saya. Saya respons Instagram story itu mengucapkan terima kasih. Dia kata, ketika itu, dia melalui banyak perkara. Ibunya meninggal dua minggu lalu.
“Rahsia Tuhan telah menyentuh orang daripada pelbagai latar belakang,” jelasnya.
Tambah Noh, baginya, Rahsia Tuhan adalah tentang berdamai dengan segala ketentuan sama ada ujian mahupun kebahagiaan yang diberikan Tuhan.
Sejak menemui pendengar tiga bulan lalu, Rahsia Tuhan berjaya memperoleh lebih 3 juta tontonan di Youtube. -UTUSAN