PARIT: Peniaga barangan murah seperti karpet, kelengkapan perkahwinan dan perabot di Seri Iskandar di sini resah memikirkan masa depan perniagaan mereka berikutan bilangan pelanggan yang semakin kurang.
Sebelum ini, pusat perniagaan mirip pusat jualan borong di Nilai 3, Negeri Sembilan itu menjadi tumpuan dalam dan luar Perak, namun semakin hari semakin kurang pelanggan sejak pandemik Covid-19.
Ia dipercayai dipengaruhi peningkatan pembelian dalam talian dan pelanggan mahu berjimat.
Seorang pekerja kedai menjual aksesori pengantin, Muhamad Hakim Muhamad Haiqal berkata, kunjungan pelanggan di kedainya boleh dibilang dengan jari pada hari biasa.
Menurutnya, pusat perniagaan itu sudah beroperasi hampir 15 tahun dan keadaannya sudah jauh berubah berbanding dahulu yang dipenuhi pelanggan.
“Kedudukan pusat perniagaan ini tidak sesuai, agak mengelirukan dan susah untuk orang masuk ke sini dan kena pusingan-U kalau terlepas jalan masuk ke sini, susah untuk berpatah balik.
“Pada musim cuti sekolah ramai yang mengadakan majlis kenduri kahwin, ada juga pelanggan tetap yang datang dari Ipoh, Manjung dan Teluk Intan untuk mencari kelengkapan di sini tetapi jumlahya tak ramai macam dahulu.
“Kami peniaga di sini tidak tahu sampai bila boleh bertahan dengan keadaan seperti ini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Seorang pekerja kedai perabot yang hanya mahu dikenali Salman, 43, berkata, pada awalnya dia menjangkakan kekurangan semasa wabak Covid-19 hanya sementara namun keadaan lengang di pusat perniagaan itu berterusan sehingga kini.
Katanya, sudah hampir enam bulan tiada pelanggan yang datang secara berkumpulan berbanding sebelum ini apabila deretan kenderaan pelanggan di depan kedai untuk membeli keperluan perkahwinan.
‘’Walau macam mana pun, sewa kedai, gaji pekerja, bil utiliti, kos pengangkutan tetap kena bayar.
“Untuk pindah ke lokasi lain ia satu risiko kerana belum tentu ada pelanggan di tempat baru nanti. Kami akan sedaya upaya bertahan di sini, sekadar lepas untuk makan dan sewa cukuplah,” katanya. – UTUSAN