Purata nilai kerugian jenayah komersial cecah RM7.9 juta sehari

Purata nilai kerugian jenayah komersial cecah RM7.9 juta sehari

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan nilai purata kerugian jenayah komersial mencecah kira-kira RM7.9 juta dalam tempoh satu hari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bermula Januari hingga 15 Disember lalu, sebanyak 30,724 kes dicatatkan dengan jumlah keseluruhan kerugian RM2.77 bilion.

Katanya, secara purata, sebanyak 88 kes komersial dilaporkan berlaku sehari.

“Secara perbandingan, jumlah kes yang direkodkan setakat ini menurun tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 31,588 kes.

“Bagaimanapun, nilai kerugian menunjukkan trend berbeza dengan peningkatan sebanyak 44 peratus berbanding tahun lalu yang hanya mencatatkan nilai kerugian sebanyak RM1.92 bilion,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK di Menara KPJ di sini, semalam.

Ramli berkata, sebanyak 13,721 kertas siasatan telah berjaya dituduh setakat ini berbanding tahun lalu iaitu 13,450 kertas siasatan.

“Penurunan kes jenayah komersial merupakan petanda positif kesedaran masyarakat pihak polis akan meningkatkan lagi usaha bagi memastikan membanteras serta pencegahan jenayah komersial terus dilaksanakan supaya impak yang lebih optimum dapat dicapai,” katanya. 

Dalam pada itu,  Ramli berkata, kes melibatkan pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long mencatatkan peningkatan dalam tempoh empat tahun iaitu 977 kes (2021); 989 kes (2022), 1,162 kes (2023) dan 981 kes (2024).

Justeru, pihaknya melipatgandakan pelbagai operasi dan serbuan dengan menahan 4737 individu yang melakukan pelbagai kesalahan berkaitan kegiatan ah long. 

Ujar beliau, ia membabitkan seramai 1,068 orang pada 2021, 1,272 orang (2022), 1,287 orang (2023) dan 1,110 orang untuk tempoh tahun ini setakat November lalu. 

“Kajian menunjukkan majoriti peminjam mengetahui risiko yang bakal diterima namun memilih untuk terus meminjam atas desakan yang dialami selain yakin dengan kemampuan diri mereka untuk mematuhi semua syarat ditetapkan.

“Mangsa akhirnya terperangkap dengan ancaman along serta faedah pinjaman yang tidak berkesudahan sebelum membuat laporan polis.

“Persoalannya, sehingga bilakah isu ah long ini akan berkesudahan? Jika sekalipun pihak polis melancarkan operasi membanteras kegiatan ini setiap hari namun ia tidak dapat ditangani secara keseluruhannya kerana wujudnya permintaan dalam kalangan masyarakat.

“Polis sudah mengingatkan supaya jangan meminjam dengan ah long, apa jua masalah, desakan hidup dan sebagainya carilah jalan yang selamat seperti meminjam dengan dengan institusi kewangan yang sah atau pemberi pinjaman wang yang berlesen. Jangan sesekali terjun ke perangkap along,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya