TANJUNG MALIM: Masjid ikonik di Slim River, Masjid Lama Kampung Balun atau dikenali Surau Tinggi di sini perlu dibaik pulih berikutan beberapa struktur utamanya yang mengalami kerosakan dan reput.
Masjid itu dipercayai dibina oleh penduduk awal perkampungan itu pada 1925 dan kerana faktor usia, terdapat dua daripada 24 batang tiang utama yang menguatkan struktur binaan masjid terbabit sudah reput.
Ini menyebabkan bahagian bawah masjid sudah kelihatan tidak stabil atau condong.
Selain itu, bahagian lantai dan tangga yang diperbuat daripada papan atau kayu juga sudah ada yang sudah reput serta rosak.
Pengerusi masjid tersebut, Mohd Nawawi Hussin, 61, berkata, berdasarkan cerita orang lama, penduduk asal membina masjid ini menggunakan pokok kayu hutan dan uniknya ia dapat disiapkan dalam tempoh kurang sebulan.
“Selain itu, masjid ini tidak menggunakan paku dengan 24 tiang kayu hutan menjadi ‘pasak’ yang menguatkan struktur binaan yang tiada bangunan seumpamanya di sekitar Tanjung Malim,” katanya ketika ditemui di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Balun, Mohd Zamri Hussin, 56, berharap, ada usaha pihak tertentu terutamanya kerajaan negeri untuk menjadikan masjid lama itu sebagai warisan.
Menurutnya, adalah merugikan jika masjid itu terus dibiarkan mengalami kerosakan kerana masjid ini boleh diangkat sebagai destinasi pelancongan di negeri ini.
“Malah, kami ada menerima banyak pelancong antarabangsa terutamanya dari China dan Britain yang ingin tertarik dengan seni binanya yang tersendiri. Penduduk kampung sentiasa memelihara masjid itu dan kos baik pulihnya tidaklah begitu tinggi membolehkan ia diangkat sebagai tarikan pelancongan di Tanjung Malim,” katanya.
Seorang penduduk lama kampung itu, Muhamad Ismail, 75, berkata, masjid itu dahulunya dinamakan Surau Tinggi kerana lokasinya yang terletak di kawasan tinggi.
“Dahulu, masjid yang berkeluasan kira-kira satu hektar ini memang meriah kerana ada pengajian agama di masjid ini yang aktif sehingga ada yang membina pondok untuk menuntut ilmu agama sebelum masjid baru dibina.
“Masjid ini menjadi lambang kebanggaan penduduk sejak zaman dahulu lagi malah dipercayai menjadi salah satu surau tua di negeri ini yang masih mengekalkan binaan seni Melayu lama,” katanya. – UTUSAN