Pulau Pinang jadi tumpuan, hotel hampir penuh

Pulau Pinang jadi tumpuan, hotel hampir penuh

SEKTOR pelancongan dan perhotelan di Pulau Pinang paling sibuk sepanjang bulan ini berikutan peningkatan jumlah pelancong yang bercuti ke negeri itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Tempahan hotel di Pulau Pinang mencatatkan peningkatan memberangsangkan bermula pertengahan Disember ini sehingga awal Januari tahun hadapan.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Tony Goh berkata, kadar purata tempahan hotel juga mencapai 80 peratus bermula hujung minggu ini sehingga akhir bulan disebabkan musim cuti persekolahan yang bermula kelmarin.

“Pada dua minggu pertama Disember, purata tempahan adalah sekitar 60 peratus sahaja.

“Namun, mulai minggu ini hingga hujung tahun, kadar purata itu sudah mencapai 80 hingga 90 peratus dan mungkin meningkat lebih tinggi dengan tempahan saat akhir, khususnya semasa musim perayaan Krismas dan Tahun Baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Goh, hotel-hotel di kawasan bandar serta pantai menunjukkan prestasi baik dengan kadar penginapan mencecah sehingga 90 peratus.

“Di kawasan Seberang Perai, kadar purata tempahan adalah sekitar 70 peratus, namun masih dianggap stabil.

“Hotel-hotel pantai dan bandar kedua-duanya mendapat sambutan yang menggalakkan. Bagi kawasan pantai, kadar penginapan hampir menyamai kadar di bandar iaitu antara 80 hingga 90 peratus,” katanya.

Jelas beliau, peningkatan ini sebahagian besarnya didorong oleh kehadiran pelancong domestik, terutamanya semasa musim cuti sekolah dan cuti panjang.

“Kehadiran pelancong domestik memang meningkat sepanjang tempoh cuti sekolah dan musim perayaan serta memberikan impak positif kepada industri pelancongan tempatan.

“Pelancong asing pula, seperti dari China, Indonesia, dan Macau, menunjukkan aliran kemasukan yang konsisten,” jelas Goh.

Tambah beliau, dengan tempahan yang tinggi, sektor perhotelan di Pulau Pinang dijangka terus rancak sehingga ke penghujung tahun, sebelum permintaan kembali normal pada awal Januari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya