GEORGE TOWN : Pulau Pinang dijangka dapat menerajui agenda transformasi pembuatan pintar di Malaysia menerusi pembangunan kerangka kerja komunikasi, keselamatan dan tadbir urus berkaitan industri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, kerangka kerja itu direka khas untuk landskap industri pembuatan pintar di Pulau Pinang dan negara ini bagi memudahkan penerapan Industri 4.0.
“Kerangka kerja ini bertujuan mendukung transformasi digital sektor pembuatan negara termasuk perusahaan kecil dan sederhana menuju era lndustri 4.0.
“Ini selaras dengan visi New Industrial Master Plan 2030 (NIMP 2030) dan Penang 2030, yang menjadi pelan induk negeri untuk membina sebuah negeri hijau, pintar, dan mampan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Jom Digital : ‘Unlocking Smart Manufacturing Potential’ di sini hari ini.
Program tersebut yang menghimpunkan pemimpin industri, pembuat dasar dan pemegang taruh utama memfokuskan kepada usaha kolaborasi, pendorongan inovasi, dan peningkatan daya saing dalam sektor pembuatan Malaysia.
Menurut Zairil, kerangka kerja itu menekankan tiga elemen utama iaitu komunikasi, keselamatan dan tadbir urus.
“Ia direka untuk fleksibiliti dan kebolehsuaian, memberi kuasa kepada pengilang untuk menerima amalan Industri 4.0 tanpa mengira tahap digital semasa mereka dan kerangka kerja ini dijangka digunakan secara meluas di seluruh industri menjelang suku pertama 2025,” katanya.
Tambah Zairil, sebagai hab utama untuk sektor pembuatan, Pulau Pinang dijangka terus menjadi contoh kepada negeri lain dalam memperkukuhkan kedudukannya di peringkat global menerusi kerangka kerja ini
“Dengan memanfaatkan kerjasama antara kerajaan, industri dan pemimpin teknologi, kita mampu mewujudkan ekosistem inovatif yang menyokong pertumbuhan industri dan ekonomi negara,”ujarnya. – UTUSAN