GEORGE TOWN : Pulau Pinang menjadi antara negeri yang merekodkan jumlah kemalangan tertinggi pada tahun ini selain Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, dapatan itu diperoleh daripada statistik kemalangan jalan raya yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Sebanyak 23,534 kemalangan telah direkodkan di Pulau Pinang antara bulan Januari hingga Mei tahun ini dan daripada jumlah tersebut, 167 merupakan kemalangan maut yang telah mengorbankan sebanyak 177 nyawa.
“Kemalangan jalan raya sebenarnya adalah seperti pandemik yang memberi kesan kepada setiap peringkat umur termasuk anak-anak muda dan berupaya memberi kesan ekonomi terhadap negara, komuniti serta keluarga,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Program JPJ@Komuniti: Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Tahun 2024 di Wad Ortopedik, Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini.
Menurut Zairil, setiap lapisan masyarakat mempunyai peranan penting dalam membantu mencapai sasaran pengurangan kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus seperti yang dihasratkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya, dalam hal ini, kerajaan negeri juga komited untuk memastikan bahawa infrastruktur jalan raya berada dalam keadaan terbaik bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Tambah beliau, JPJ turut melaksanakan advokasi keselamatan jalan raya melalui pelbagai medium bagi mengurangkan kadar kemalangan selain mengurangkan risiko kecederaan serta kematian akibat kemalangan tersebut di samping terus memantapkan penguatkuasaan undang-undang. – UTUSAN