KUALA LUMPUR: Kempen LESTARI Pendidikan yang dilancarkan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bertujuan memupuk kesedaran mengenai kepentingan pendidikan tinggi yang inklusif dan kelestarian dana pendidikan.
Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, kempen itu membawa mesej utama ‘Memperkasa Rakyat Melalui Pendidikan Tinggi dan Tanggungjawab Kewangan’. Ia adalah inisiatif strategik bagi memastikan pendidikan tinggi kekal relevan dan mampan untuk generasi masa depan.
Katanya, antara elemen utama kempen tersebut termasuk program #PTPTNBolehBincang yang membolehkan peminjam berunding pelan pembayaran fleksibel, serta #PTPTNSediaBantu yang menyediakan pelbagai saluran mudah untuk pembayaran balik.
Kempen itu berteraskan empat elemen utama: Transformasi, Aspirasi, Realisasi, dan Inovasi. Antaranya, aplikasi seperti myPTPTN dan myWaqafPTPTN diperkenalkan bagi memudahkan urusan pembayaran balik dan pengurusan pinjaman yang lebih sistematik.
“Kami memahami cabaran kewangan yang dihadapi oleh sebahagian peminjam. Justeru, PTPTN komited untuk membantu mereka menyelesaikan hutang melalui pendekatan yang fleksibel dan empati,” kata ketika berucap dalam majlis peluncuran Kempen LESTARI Pendidikan, di sini hari ini.
Norliza menegaskan, pendidikan tinggi adalah asas kepada pembangunan masyarakat progresif dan kelestarian dana pendidikan perlu dijaga dengan kerjasama semua pihak.
“Universiti, alumni, NGO, dan pemimpin masyarakat perlu menjadi rakan strategik dalam menyebarkan mesej positif ini. Hanya melalui tindakan kolektif, kita dapat memastikan sistem pendidikan tinggi negara terus kukuh dan inklusif,” ujarnya.
Kempen LESTARI Pendidikan juga diselaraskan dengan aspirasi negara seperti konsep Malaysia MADANI dan Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). – UTUSAN