KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (Proton) mempamerkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak, X50 Sport Edition sempena Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (KLIMS 2024).
Penambahbaikan daripada varian X50 Premium in tampil dengan banyak kelebihan berbanding versi sedia ada.
Ia merangkumi kit badan hadapan, belakang dan skirting tepi.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, KLIMS 2024 adalah pentas yang sempurna untuk mempamerkan kemajuan terbaru kumpulan.
“Daripada pelancaran EV pertama Proton yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga membenarkan pengunjung merasai sendiri kehebatan kereta perlumbaan R3 serta mempamerkan konsep ‘sporty’ terkini yang berasaskan Proton X50 2024.
“Di samping itu, Proton akan berkongsi visi kumpulan untuk mobiliti mampan di masa depan sementara meneroka konsep dan arah yang sekali lagi akan menetapkan nada untuk industri automotif negara,” katanya dalam kenyataan sempena KLIMS 2024 di sini.
Selain itu, hadir dengan warna badan Quartz Black, X50 Sport Edition diserahkan lagi dengan ‘skirting’ berwarna Merah, termasuk pada gril bahagian bawah dan bumper belakang.
“Kombinasi warna hitam dan Merah menyerlahkan lagi aspek sporty jentera ini.
“Pada bahagian badan terdapat pelekat berwarna merah untuk melengkapkan lagi penampilan X50 Sport Edition ini.
“Penggayaan luaran ditambah lagi dengan rim 18 inci hitam.Jentera edisi istimewa ini menampilkan pengecas tanpa wayar, karpet edisi terhad, ‘scuff plate’ dan ‘tray but’,” katanya.
Dalam pada itu, X50 Sport Edition juga mengekalkan aspek mekanikal kekal sama di mana versi ini tampil dengan enjin 1.5L TGDi dengan transmisi dual-clutch (DCT) 7 kelajuan, menghasilkan 177 PS dan 255 Nm tork.
“Aspek keselamatan juga sama dengan ciri seperti sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS), termasuk kawalan jelajah adaptif, brek kecemasan autonomi, dan bantuan kekal lorong.
“Harga bagi varian premium adalah sekitar RM113,300, dengan versi Sport Edition dijangka lebih tinggi sedikit berdasarkan penambahbaikan yang ditampilkan,” katanya.
Edisi KLIMS 2018 memasarkan penampilan pertama Proton X70, SUV pertama syarikat, menandakan pratonton terakhir Proton e.MAS 7, EV pertama syarikat dan menandakan langkah seterusnya dalam perjalanan Proton untuk menjadi jenama automotif bertaraf dunia.
Dibangunkan bersama Geely, e.MAS 7 adalah SUV segmen-C yang tersedia dalam dua varian, Prime dan Premium, dengan ruang dalaman yang memimpin kelas serta dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan dan kemudahan canggih termasuk ADAS tahap 2.
Terdapat juga promosi eksklusif di KLIMS 2024, di mana pengunjung berpeluang menerima baucar servis bernilai RM500 dan menikmati diskaun tambahan sehingga RM2,000 untuk model terpilih.
Ini adalah tambahan kepada promosi Proton Vaganza Akhir Tahun yang kini berada di bulan terakhir dengan diskaun sehingga RM7,000 untuk model terpilih, termasuk Proton X50 2024 dan Proton X70 2025.
Selain itu, beberapa model boleh dibeli dengan pakej nilai tambah seperti servis percuma selama dua tahun, memberikan penjimatan jangka panjang dan ketenangan. – UTUSAN