Projek longkang RM300,000 atasi banjir Kampung Rawai

Projek longkang RM300,000 atasi banjir Kampung Rawai

KAMPUNG Rawai, Kuala Terengganu berdepan masalah banjir termenung sejak bulan lalu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Projek pembinaan longkang bernilai RM300,000 sedang dijalankan di Kampung Rawai di Marang dan kawasan sekitarnya sebagai inisiatif mengatasi masalah banjir termasuk banjir termenung yang membelenggu kira-kira 50 penduduk di situ.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Ariffin Deraman berkata, projek tersebut dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dapat menyelesaikan masalah banjir termenung apabila siap kelak.

“Ini adalah langkah penyelesaian jangka masa panjang setelah pembinaan longkang bernilai RM4,000 yang dibuat sebelum ini tidak dapat mengatasi masalah tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan rungutan penduduk di 11 buah rumah di Kampung Rawai yang sekali lagi berdepan masalah banjir termenung sejak bulan lalu dan paras air sehingga kini belum surut sepenuhnya.

Senario sama setiap tahun yang terpaksa dilalui mereka menyukarkan aktiviti harian terutama yang melibatkan kanak-kanak, warga emas dan ibu mengandung.

Penduduk terpaksa meletak kenderaan di tempat yang lebih tinggi dan meredah air untuk keluar masuk ke rumah mereka.

Ditanya punca berlakunya banjir termenung itu, Ariffin berkata, ia berlaku kerana perumahan tersebut berada di kawasan yang agak rendah menyebabkan air mudah bertakung.

“Ketika awal pembinaannya dahulu memang tiada masalah pun apabila banjir. Namun, apabila semakin banyak rumah dibina di atas tanah yang ditambun di sekitarnya menjadikan kawasan tersebut semakin rendah dan berlakunya situasi banjir termenung,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya