KUALA LUMPUR: Status kemajuan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sudah mencapai sehingga 76.06 peratus siap setakat November lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, kemajuan projek itu berada pada landasan yang betul untuk siap mengikut jadual.
Katanya, projek itu dijangka siap pada bulan Disember 2026 bagi jajaran Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dan seterusnya Gombak sehingga ke Jalan Kastam pada bulan Disember 2027.
“Negeri Pahang telah menunjukkan status kemajuan yang signifikan dengan peratusan kemajuan kerja sebanyak 78.82 peratus setakat November ini.
“Sepertimana yang diketahui umum, jajaran ECRL sepanjang kira-kira 258 kilometer di negeri Pahang melibatkan pembinaan paling banyak iaitu tujuh buah stesen.
“Di mana stesen Cherating dan KotaSAS untuk tujuan penumpang sahaja manakala stesen Kuantan Port City, Paya Besar, Maran, Temerloh dan Bentong adalah stesen gabungan penumpang dan kargo,” katanya.
Beliau ditemui semasa majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) dan MRL di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Tambah beliau, penubuhan Akademik Rel Pahang (ARP) melalui MoU yang dimeterai dijangka akan memberikan tenaga kerja mahir kepada MRL seterusnya membantu meningkatkan sosioekonomi Pahang.
Katanya, menjelang tahun 2025, projek ECRL akan memasuki fasa persediaan untuk pengoperasian ECRL.
“Oleh demikian, dianggarkan hampir 1,500 tenaga kerja tempatan akan diperlukan dalam syarikat pengendali ECRL ini, yang merangkumi pelbagai bidang kepakaran, termasuk teknikal, pengurusan, dan operasi.
“Justeru, persiapan dan latihan yang rapi terhadap tenaga kerja tempatan adalah amat penting untuk memastikan pengoperasian ECRL berjalan dengan selamat, cekap, dan efisien,” katanya. – UTUSAN