PETALING JAYA: Program Tarif Elektrik Hijau (GET) akan diteruskan pada 2025 dengan penawaran kuota sekurang-kurangnya 6,600 GigaWatt jam (GWj) pada kadar premium sama, iaitu 10 sen/kilowatt jam (kWj).
Kadar tersebut juga merangkumi untuk pengguna voltan rendah dan 20 sen/kWj bagi pengguna voltan sederhana dan tinggi.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, beberapa penambahbaikan turut diperkenalkan mulai 2025 termasuk pembukaan langganan jangka masa panjang bagi membolehkan pengguna membuat langganan GET sehingga 2027.
Jelasnya lagi, penawaran baharu ini akan memberikan kepastian (certainty) dalam perancangan langganan bekalan elektrik hijau oleh syarikat korporat dan industri.
“Program GET yang diperkenalkan pada 2021, merupakan antara inisiatif strategik Kerajaan yang menawarkan bekalan elektrik yang dijana daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) kepada pengguna elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berhasrat untuk mengurangkan jejak karbon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah PETRA, sejak diperkenalkan Program GET telah membekalkan secara kumulatif sebanyak 9,400 GWj bekalan elektrik hijau kepada melebihi 3,000 pengguna elektrik dalam pelbagai kategori dan membantu pengguna dalam memenuhi komitmen Strategik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) khususnya daripada aspek penghindaran pelepasan gas rumah kaca melalui penggunaan tenaga elektrik hijau.
“Kerajaan telah memutuskan bahawa pengguna yang melanggan GET pada 2025 tidak akan dikenakan caj kadar pelepasan kos tidak seimbang (ICPT).
“Langkah ini bertujuan memberikan gambaran bahawa tenaga elektrik hijau tidak terdedah kepada pergerakan harga bahan api,” katanya
Menurut PETRA, kadar premium GET bagi 2025 kekal pada kadar 10 sen/kWj untuk pengguna kediaman dan bukan kediaman voltan rendah, termasuk kategori tarif Perdagangan B, Perindustrian D, Perlombongan F, Pertanian Spesifik H, serta Lampu Jalan G dan G1.
“Bagi pengguna bukan kediaman voltan sederhana dan tinggi, kadar premium ditetapkan pada 20 sen/kWj, melibatkan kategori tarif Perdagangan C1, C2, C3, dan C4, Perindustrian E1, E2, dan E3, Perlombongan F1 dan F2, serta Pertanian Spesifik H1 dan H2.
“Langganan program GET boleh dilakukan bermula 1 Mac 2025 melalui portal myTNB, dengan pilihan untuk membuat langganan berkesan bermula dari 1 Januari 2025,” katanya. – UTUSAN