Program NEM ditambah baik, insentif untuk solar rakyat dilanjutkan

Program NEM ditambah baik, insentif untuk solar rakyat dilanjutkan

solar
NEM Rakyat akan ditingkatkan sebanyak 150MW kepada 600MW supaya lebih ramai pengguna domestik dapat memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk pemasangan sistem solar PV.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Untuk menggalakkan lagi pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV), di bumbung premis bangunan, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah menambah baik garis panduan pelaksanaan program pemasangan sistem solar di bumbung premis bangunan di bawah program permeteran tenaga bersih atau Net Energy Metering (NEM).

PETRA dalam satu kenyataan memberitahu, penambahbaikan ini akan membolehkan lebih banyak ruang bumbung premis bangunan dimanfaatkan untuk pemasangan sistem
solar PV

Selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negara serta komitmen untuk pengurangan jejak karbon oleh pengguna NEM, PETRA bersetuju supaya pengguna sedia ada dibenarkan untuk meningkatkan kapasiti pepasangan sistem solar sedia dan beralih kepada Program NEM yang sedang berkuat kuasa berdasarkan syarat dan garis panduan terbaharu.

Selain itu, program NEM akan dibuka untuk penyertaan pengguna elektrik kategori pertanian bagi manfaat daripada pemasangan sistem solar PV disamping menyokong inisiatif meningkatkan keterjaminan makanan negara.

Berikutan itu, kuota di bawah kategori NEM Rakyat akan ditingkatkan sebanyak 150MW kepada 600MW supaya lebih ramai pengguna domestik dapat memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk pemasangan sistem solar PV.

Selain itu, kuota di bawah kategori NEM NOVA untuk pengguna komersial dan industri juga akan ditambah sebanyak 300MW kepada 1,700MW bagi menyokong usaha syarikat dan entiti korporat untuk memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan pengguna kategori pertanian.

Kesemua kuota di bawah Program NEM ini adalah terbuka untuk permohonan oleh pengguna elektrik yang berminat sehingga 30 Jun 2025 atau sehingga kesemua kuota NEM habis diagihkan, yang mana terdahulu.

Pada masa sama, pemberian rebat pemasangan sistem solar sehingga RM4,000 kepada pengguna domestik dibawah Skim Insentif Solar Untuk Rakyat atau Solar For Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS) akan dilanjutkan sehingga 30 April 2025, tertakluk kepada terma dan syarat kelayakan SolaRIS yang telah ditetapkan.

Penambahbaikan ini bagi pelaksanaan Program NEM dan perlanjutan skim SolaRIS ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025.

Garis panduan terkini bagi Program NEM Rakyat dan NEM NOVA boleh didapati melalui laman sesawang Suruhanjaya Tenaga di www.st.gov.my.

Manakala maklumat lanjut mengenai permohonan Program NEM boleh didapati di laman sesawang SEDA Malaysia di www.seda.gov.my.

Perincian mengenai program SolaRIS pula boleh didapati di laman sesawang TNB di www.tnb.com.my.

“PETRA sentiasa komited untuk memastikan supaya pelaksanaan inisiatif TBB menerusi program pemasangan sistem solar di bumbung bangunan akan dilaksanakan secara menyeluruh selain menyokong aspirasi peralihan tenaga negara untuk mencapai sasaran 70 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu dalam perbekalan elektrik negara menjelang tahun 2050,” demikian menurut kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN