KOTA KINABALU: Parti Impian Sabah (PIS) ingin tampil sebagai pilihan alternatif kepada rakyat Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Presidennya, Michel Alok berkata, beliau percaya kewujudan parti tersebut mampu diterima rakyat negeri ini yang inginkan pembaharuan dalam arena politik tempatan.
Beliau berkata, jika diberi mandat menjadi kerajaan negeri pada PRN17, mereka akan melakukan pembaharuan dengan meminda Perlembagaan Negeri bagi mengehadkan jawatan Ketua Menteri dan anggota Kabinet Negeri kepada dua penggal sahaja bagi memberi ruang pemimpin lain mengemudi parti berkenaan.
“Pengundi sekarang sudah bijak dan tahu membezakan mana yang betul dan mana yang tidak betul. Jika dilihat hari ini, kebanyakan pengundi mengamalkan sifat tunggu dan lihat.
“Saya melihat rakyat sudah semakin sedar dan memberi ruang kepada PIS untuk mewarnai arena politik tempatan. Biarpun ada yang mempersoalkan tindakan kami membuka parti yang baharu,” katanya selepas Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan pertama bagi sesi 2024-2026, semalam.
Menurutnya, beliau percaya kebanyakan pemimpin mereka adalah wajah baharu dan ia sudah pasti memberi nafas baharu kepada arena politik negeri Sabah.
Kata beliau, PIS tidak sama dengan parti-parti lain dan itu sebabnya mereka semakin diterima dalam kalangan rakyat negeri ini.
Malah, pemimpin-pemimpin PIS telah melakukan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai komitmen mereka untuk memastikan pemimpin mereka bebas daripada rasuah. – UTUSAN