PETALING JAYA: Daun ketum yang diisytiharkan sebagai ‘musuh’ di Malaysia mempunyai manfaat untuk dijadikan ubat tahan sakit dan tumbuhan tersebut boleh dijadikan produk untuk dieksport.
Pakar Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. B. Vicknasingam berkata, mengikut penyelidikan dilakukan pada tahun 2020, satu kompaun aktif di dalam ketum dikenal pasti iaitu mitragynine yang berfungsi sebagai ubat tahan sakit.
Menurutnya, dalam perubatan moden, hanya satu unsur paling aktif dalam tumbuhan akan diambil untuk dijadikan ubat.
Bagaimanapun, beliau mencadangkan kajian yang lebih mendalam perlu dilakukan ke atas ketum untuk melihat sekiranya hanya mitragynine atau masih ada unsur lain yang turut membantu dalam menghasilkan ubat-ubatan.
“Mengikut kajian awal yang saya lakukan setakat ini, perubatan moden mendapati ia berpotensi menjadi ubat penahan sakit dan mengawal gejala tarikan dadah jenis opioid.
“Tetapi, dalam perubatan tradisional, kita lihat mereka yang guna ketum hanya dengan merebus daun dan minum air rebusan. Jadi mereka yang minum air rebusan akan dapat semua jenis kandungan di dalam daun ketum,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, kata Vicknasingam, perdebatan mengenai ketum ini sebenarnya memerlukan kerjasama antara agensi kerajaan untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang lebih berkesan untuk mengenal pasti faedah penggunaan daun tersebut.
Katanya, ketum dilihat berpotensi tinggi untuk tembus ke pasaran luar dan perkara itu terbukti apabila berlaku kegiatan penyeludupan membawa ketum ke Thailand malah negara gajah putih itu sendiri sudah ‘menghalalkan’ tanaman ketum.
“Ketum ada keistimewaan dan setakat ini yang ditemui boleh dijadikan ubat tahan sakit. Jadi mungkin ada keistimewaan lain yang memerlukan penyelidikan lebih mendalam tetapi kerajaan tidak bekerjasama. Setiap kementerian ada geran masing-masing jadi tidak ada isu besar untuk beri sedikit fokus kepada ketum.
“Kita perlukan rancangan menyeluruh. Penguatkuasaan itu satu tetapi kita juga perlu promosi dan dorongan penyelidikan supaya kita ada satu produk yang boleh dijual dengan harga lebih tinggi bukan ‘mengharamkan’ terus tanpa mahu mengambil tahu kelebihannya,” katanya.
Dalam pada itu, Vicknasingam berkata, kajian juga mendapati perbezaan pada daun ketum yang dimakan secara terus berbanding dieksport ke luar negara.
Katanya, komposisi kimia yang terhasil secara semula jadi semasa pengeringan daun itu menyebabkan kesan yang berbeza bagi produk yang dijual ke negara- negara Barat.
“Di Malaysia dan negara Asia Tenggara yang lain, kita gunakan ketum asli yang selamat dan digunakan sejak dulu.
“Mereka tidak tahu perbezaan antara ketum sebenar dan produk yang diproses di sana, yang banyak kesan buruk atau kematian dikaitkan.
“Pada masa sama tiada kejadian buruk dilaporkan di Malaysia atau negara lain di rantau ini,” katanya. – UTUSAN