AMPANG: Polis menahan tiga lelaki tempatan disyaki cuba melarikan mesin ATM Public Gold dengan cara menariknya keluar dari sebuah pasar raya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek bagaimana pun hanya melarikan mesin kosong ekoran bongkah emas di dalamnya sudah dikeluarkan dengan anggaran kerugian kira-kira RM 60,000.
Menurutnya, suspek menyasarkan mesin ATM tersebut yang terletak di dalam kawasan pasar raya dengan cara mengupah pemandu untuk membawanya keluar menggunakan lori.
“Polis menerima laporan daripada pegawai pemasaran syarikat itu pada 23 November lalu menyaksikan polis membuat tangkapan berasingan pada 26 sehingga 30 November.
“Polis menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 17 dan 41 tahun di kawasan Kuala Lumpur dan Kajang, Selangor selepas disyaki terlibat dengan kes yang disiasat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, tangkapan itu juga menyaksikan polis merampas dua telefon bimbit, beberapa jenis pakaian dan sebuah lori bagi membantu siasatan.
“Hasil ujian air kencing terhadap suspek pertama dan kedua adalah negatif dadah manakala suspek ketiga didapati positif dadah jenis Methamphetamine serta Amphetamine.
“Semakan juga mendapati suspek pertama dan kedua tiada rekod lampau manakala suspek ketiga mempunyai 54 rekod jenayah lampau serta tiga rekod bagi kesalahan jenayah dan narkotik,” jelasnya.
Tambah Mohd. Azam, suspek pertama dan kedua telah diberi jamin polis manakala permohonan reman suspek ketiga di Mahkamah Ampang dibenarkan selama empat hari bermula 1 Disember hingga 4 Disember ini. – UTUSAN