GEORGE TOWN : Polis Pulau Pinang berjaya merampas pelbagai jenis dadah berjumlah hampir RM3 juta susulan penahanan enam rakan yang terlibat termasuk dua wanita dalam beberapa serbuan berasingan pada 6 dan 13 Disember lalu.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, dalam serbuan pada 6 Disember lalu iaitu antara pukul 9 pagi hingga 10 malam, lima lokasi berasingan di sekitar George Town dan Butterworth diserbu secara serentak.
Katanya, ekoran serbuan itu, empat lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia antara 26 hingga 42 tahun yang dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran pelbagai jenis dadah berjaya ditahan.
“Kesemua suspek ditahan di rumah yang disewa di lokasi berasingan dan mereka dipercayai aktif mengedar dadah sejak awal tahun ini untuk pasaran tempatan terutamanya di pusat-pusat hiburan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, hari ini.
Menurut beliau, hasil serbuan itu juga, sebanyak 106 peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis ketamin seberat 9.82 kilogram (kg) dan aluminium foil warna merah dan perak berisi pil 17,050 biji disyaki dadah erimin 5 seberat 4.49 kg telah dirampas.
“Turut dirampas ialah 65 peket dadah jenis ekstasi seberat 1.50 kg, enam peket plastik lutsinar berisi disyaki dadah jenis MDMA (seberat 250.64 gram) dan satu peket plastik lutsinar berisi cerai dedaun kering disyaki dadah ganja seberat 3.20 gram,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Alwi berkata, susulan daripada kejayaan operasi pertama pada 6 Disember itu, polis kemudiannya menyerbu sebuah kondominium di kawasan Sungai Nibong di sini, pada 13 Disember iaitu kira-kira pukul 4.15 petang.
“Rumah ini (kondominium) dipercayai disewa untuk dijadikan stor penyimpanan dadah sindiket berkenaan dan hasil pemeriksaan lanjut, polis kemudian berjaya merampas pelbagai jenis dadah termasuk enam kotak berisi 221 ikatan yang mengandungi 5,525 keping foil aluminium berwarna merah dan perak yang berisi 55,250 biji pil disyaki dadah jenis Erimin 5 seberat 15.60 kg.
“Turut dirampas ialah 15 peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis ketamin dengan anggaran berat 382 gram serta satu peket plastik lutsinar berisi 50 biji pil disyaki pil ekstasi seberat 21.05 gram,”katanya.
Mohd. Alwi berkata, kesemua suspek didapati tidak bekerja dan hasil ujian saringan air kencing ke atas mereka adalah negatif daripada penggunaan sebarang jenis dadah selain tidak memiliki sebarang rekod lampau.
“Jumlah rampasan dadah keseluruhan bagi kedua-dua kes bernilai hampir RM3 juta dan kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952. Ketika ini, kesemua tangkapan telah direman sehingga 20 Disember untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, selain dadah, polis turut menyita sembilan buah kenderaan berjumlah RM755,500; empat akaun bank berjumlah RM64,703; wang tunai berjumlah RM26,085 serta barang kemas bernilai RM800 dalam beberapa serbuan itu. – UTUSAN