KUALA LUMPUR: Polis sedang menjalankan siasatan dalaman terhadap seorang anggotanya yang didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada seorang wanita ketika menghadiri satu protes berkaitan hak asasi manusia di ibu negara, Jumaat lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya telah mengenal pasti anggota terbabit yang bertugas di salah sebuah kawasan di ibu kota.
“Walaupun tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu, siasatan tetap dijalankan bagi memastikan perkara ini diselesaikan dengan adil dan telus,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Menurut Rusdi, polis memandang serius sebarang tindakan atau perlakuan anggota yang boleh mencemarkan imej pasukan keselamatan dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika dakwaan tersebut terbukti benar.
“Polis menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian ini untuk tampil membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, insiden tersebut mula tular selepas seorang pengguna media sosial memuat naik hantaran di Instagram, mendakwa anggota polis berkenaan beberapa kali menunjukkan isyarat lucah ketika dia sedang mengambil gambar di lokasi protes tersebut.
Wanita itu turut mendakwa isyarat yang dilakukan anggota terbabit disengajakan bagi memastikan ia dapat dilihat dengan jelas olehnya.
Protes tersebut difahamkan diadakan sebagai sebahagian daripada kempen memperjuangkan hak asasi manusia. – UTUSAN