PETALING JAYA: PETALING JAYA: Polis sedang mendapatkan pengesahan bukti pernikahan ibu bapa kes seorang bayi lelaki yang jasadnya disimpan dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Klang, kerana tidak menjelaskan bayaran bil.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sedang menyemak bukti pernikahan berkenaan daripada Jabatan Agama Islam bagi membantu siasatan dan setakat hari ini seramai lima orang sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan. Hh
“Mereka terdiri daripada ibu bapa, dua doktor dan terbaharu rakan kepada pasangan itu yang menghantar wanita itu ke hospital,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan polis akan memanggil beberapa individu termasuk pihak hospital berhubung kes bayi lelaki yang jasadnya disimpan dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Klang, kerana ibu bapanya tidak menjelaskan bayaran bil.
Hussein dilaporkan berkata, polis menerima satu laporan daripada bapa kepada bayi terbabit semalam.
Ujarnya, laporan itu diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP) dan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan sedang menjalankan siasatan secara mendalam untuk menentukan sekiranya terdapat sebarang unsur jenayah dalam isu ini serta menanganinya dengan sebaik mungkin. – UTUSAN