SETIU: Polis mematahkan cubaan menyeludup 244 kilogram dadah dipercayai syabu bernilai RM7.8 juta dalam operasi di Kilometer 62 Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu dekat Kampung Rahmat, di sini kelmarin.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd .Khairi Khairudin berkata, dadah tersebut ditemukan di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Vellfire yang ditinggalkan seorang lelaki di bahu jalan hadapan sebuah restoran.
“Ketika anggota Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu menjalankan operasi ‘Snap Check’ di kawasan berdekatan kira-kira pukul 9 pagi, sebuah Toyota Vellfire berhenti secara mengejut kira-kira 100 meter dari kawasan operasi.
“Apabila anggota trafik menghampiri kenderaan tersebut, seorang lelaki keluar dari kenderaan dan melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit,” katanya dalam sidang media di IPD Setiu hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, polis menemukan tujuh guni dan satu beg plastik mengandungi ketulan kristal yang dipercayai dadah jenis syabu.
” Dipercayai dadah tersebut dibawa masuk dari sempadan negara jiran dan menggunakan laluan Kelantan-Terengganu untuk dipasarkan di Lembah Klang. Jumlah dadah seberat 244 kilogram ini boleh digunakan lebih 1.4juta penagih dadah dan ia merupakan rampasan terbesar polis Terengganu pada tahun ini,” katanya.
Mohd Khairi berkata, dalam operasi sama, pihaknya turut mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan kira-kira satu kilometer dari lokasi berkenaan iaitu di hadapan sebuah kedai tayar tayar.
Ujarnya, ketika pemeriksaan ke atas pacuan empat roda itu, suspek yang merupakan seorang lelaki cuba merempuh anggota polis.
“Susulan itu satu tembakan dilepaskan oleh anggota polis ke arah tayar kenderaan terbabit, bagaimanapun pemandu terus melarikan diri.
“Kenderaan pacuan empat roda itu kemudian ditemukan di ladang kelapa sawit dalam keadaan berkunci tanpa pemandu. Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu telah menemukan nombor pendaftaran asal sebuah Toyota Vellfire,” katanya. – UTUSAN