KUALA LUMPUR: Polis meminta mangsa yang mendakwa ditipu seorang pempengaruh dan usahawan yang mengendalikan agensi pelancongan tampil membuat laporan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian.
“Jadi kita minta mana-mana individu untuk membuat laporan polis, kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di Korea Selatan bagi menyiasat perkara ini.
“Laporan polis perlu dibuat bagi kita membantu mangsa selain mudah untuk polis dapatkan kerjasama sama ada melalui polis antarabangsa (Interpol) dan pihak berkuasa Korea Selatan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK di sini, hari ini.
Sejak semalam, tular di TikTok video luahan seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa penipuan seorang individu dikenali Kim Seri.
Menerusi video itu, wanita berkenaan mendakwa dia bersama rombongan tersadai di lapangan terbang kerana tiada tiket penerbangan pulang ke tanah air seperti dijanjikan.
Wanita itu mendakwa sudah membuat semakan di kaunter tiket namun namanya bersama rombongan tiada dalam rekod.
Bagi mendapat kepastian, wanita itu cuba menghubungi individu terbabit namun diminta menunggu sebelum diberitahu terdapat masalah teknikal untuk membuat tempahan.
Di akhir video, wanita itu menuntut usahawan itu bertanggungjawab kerana terkilan dengan apa yang berlaku selepas membuat pembayaran penuh awal seperti diminta pempengaruh berkenaan.
Perkongsian wanita itu mengundang pelbagai reaksi dengan rata-rata bersimpati dan meminta mangsa membuat laporan polis.- UTUSAN