PASIR MAS: Polis membuka kertas siasatan berhubung panggilan palsu berkaitan banjir seterusnya mengesan 114 pemanggil semasa bencana itu melanda baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan itu akan dilakukan selepas situasi banjir yang melanda ketika ini pulih.
“Buat masa ini, tumpuan kita kepada isu banjir. Tetapi selepas tamat sahaja banjir, kita akan jejak mereka yang buat panggilan palsu.
“Di Pasir Mas sahaja, kita terima 114 panggilan palsu berkait banjir daripada 1,987 panggilan untuk tugasan menyelamat mangsa banjir,” katanya selepas meninjau situasi terkini banjir Kelantan di Balai Polis Repek, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat.
Ayob Khan berkata, tindakan itu bertujuan memberi pengajaran kepada masyarakat.
Katanya, individu terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang mana jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman RM50,000 dan satu tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
“Tindakan tidak bertanggungjawab ini menyukarkan gerak kerja polis untuk menyelamatkan mangsa yang benar-benar terjejas,” ujarnya.
Terdahulu, polis dilaporkan menerima sebanyak 107 panggilan palsu daripada individu tidak bertanggungjawab yang memohon bantuan banjir di daerah ini pada 29 November lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, perbuatan dilihat banyak membuang masa dan tenaga anggota penyelamat untuk turun ke lokasi terjejas banjir.
Menurutnya, panggilan palsu itu diketahui selepas anggota pasukan penyelamat bergegas ke lokasi tersebut sebelum mendapati tiada mangsa di situ. – UTUSAN