SEGAMAT: Polis Johor bersedia menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir dalam tempoh terdekat.
Ketua Polis Johor, Datuk M.Kumar berkata, setakat ini kekuatan 2,467 pegawai dan anggota serta keupayaan 307 aset dalam keadaan terbaik.
“Walaupun kini jumlah mangsa banjir semakin menurun terutama di Segamat, namun kita sentiasa memantau keadaan dari semasa ke semasa termasuk gelombang kedua banjir.
“Hala tuju penugasan PDRM Johor bagi menghadapi banjir tidak tertumpu ke kawasan titik hitam kerap berlaku banjir, namun di mana sahaja lokasi.
“Kesiapsiagaan kita berada di tahap tertinggi dan kita juga mengingatkan masyarakat terutama yang terdedah banjir supaya sentiasa memantau keadaan,” katanya selepas melawat dan menyampaikan sumbangan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Balai Raya Batu Badak, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, M. Kumar memberi ingatan kepada penduduk agar patuh arahan pihak berkuasa dan tidak mengambil tindakan di saat akhir (untuk berpindah) bagi mengelak insiden tidak diingini.
“(Ini kerana) proses perpindahan perlu dilakukan berperingkat kerana kita tidak boleh membawa penduduk dalam jumlah yang ramai dalam satu-satu masa,” jelasnya. – UTUSAN