Polis Johor mula guna kamera badan, lebih 900 diagihkan

Polis Johor mula guna kamera badan, lebih 900 diagihkan

KUMAR menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang pegawai polis pada Majlis Perhimpunan Bulan Disember 2024 di Dataran Kawat, IPK Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis negeri ini menerima sebanyak 952 unit kamera badan (BWC) yang mula digunakan sejak 11 Disember lalu bagi meningkatkan keupayaan penugasan pasukan barisan hadapan.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya yakin penggunaan BWC akan meningkatkan lagi keupayaan dan integriti pasukan tersebut, khususnya yang berinteraksi secara langsung dengan masyarakat.

“Kamera ini akan digunakan oleh petugas barisan hadapan supaya segala aktiviti penugasan harian boleh direkodkan, rakaman itu akan disimpan dalam sistem yang disediakan.

“Selain itu, ia juga boleh menyangkal aduan atau tohmahan terhadap pasukan polis di lapangan, meningkatkan persepsi masyarakat dan yang paling penting rakaman BWC ini boleh digunakan sebagai keterangan di mahkamah,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

BWC adalah peranti kamera yang dipakaikan pada badan anggota semasa menjalankan tugas dan dicipta bagi tujuan merakam bukti dalam bentuk digital.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini dilaporkan mula menerima 7,648 unit BWC secara berperingkat-peringkat mulai September lalu hingga Februari tahun depan berdasarkan Surat Setuju Terima (SST) yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ia akan ditempatkan di 157 Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) dan 640 balai polis di seluruh kontinjen dan penggunaannya adalah secara berperingkat-peringkat mulai Oktober lalu.

Kumar berkata, kelengkapan itu digunakan oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) selain diagihkan kepada setiap IPD di seluruh negeri ini.

Dalam pada itu, Kumar memberitahu, seramai 23 pegawai dan 204 anggota akan ditugaskan sempena Op Lancar bermula Selasa ini hingga 1 Januari depan bagi memastikan kelancaran trafik sempena musim cuti dan sambutan Hari Krismas.

“Tumpuan utama operasi adalah di 49 lokasi kerap berlaku kesesakan lalu-lintas dan 31 lokasi sering berlaku kemalangan yang telah dikenal pasti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya