BALIK PULAU : Seorang lelaki ditahan ketika cuba menyeludup keluar pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM200,000 melalui jalan laut di sebuah jeti di Teluk Bahang di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, ketika ditahan, suspek yang berusia 29 tahun dari Indonesia itu dikatakan sedang menunggu sebuah bot untuk membawa dia kembali ke negara asalnya dengan bayaran sebanyak RM3,000 bagi satu perjalanan.
“Siasatan polis mendapati, suspek masuk ke negara ini melalui KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) lebih sebulan yang lalu dan ini merupakan cubaan pertamanya untuk menyeludup keluar dadah ke negara lain,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Sazalee berkata, susulan penahanan suspek, polis berjaya merampas sebanyak enam ketulan ganja, enam bungkusan syabu serta dua paket dadah jenis MDMA yang ada bersamanya dengan berat keseluruhan dadah itu dianggarkan melebihi 12 kilogram (kg).
Katanya, kesemua dadah yang dipercayai bernilai RM217,424 itu boleh digunakan oleh 18,000 orang atau 18,000 kali penggunaan jika terlepas ke pasaran gelap.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek pula mendapati, dia negatif dadah selain tidak memiliki sebarang rekod lampau sama ada berkaitan dadah atau jenayah,” katanya yang memberitahu, suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Dalam perkembangan berasingan, Sazalee berkata, seorang peniaga buah ditahan buat kali ketujuh selepas terbabit dalam kegiatan memproses dan menjual air daun ketum di sekitar negeri ini.
Menurut beliau, suspek berusia 58 tahun itu ditahan awal pagi semalam di sebuah rumah di Kuala Jalan Bahru di Mukim D di sini dan susulan penahanan itu, pihaknya merampas kira-kira 600 bungkusan air ketum, 27 kg daun ketum serta peralatan memasak minuman itu yang dianggarkan bernilai RM3,000.
“Suspek kini direman selama empat hari iaitu sehingga 5 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya yang memaklumkan, setiap bungkusan minuman itu dijual pada harga RM10 mengikut permintaan semasa pasaran.-UTUSAN