Polis buru penyokong bola sepak merusuh di platform LRT 

Polis buru penyokong bola sepak merusuh di platform LRT 

PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis giat mengesan kumpulan penyokong bola sepak yang terlibat dalam insiden rusuhan di platform Transit Aliran Ringan (LRT) Stesen Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi, di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, laporan kejadian berkenaan diterima pada pukul 3.40 pagi daripada pengadu, Lans Koperal PB Hafsan yang berada di tempat kejadian. 

Menurutnya, ketika kejadian sekitar pukul 12.03 tengah malam, pengadu sedang menaiki tren dari Stesen Bukit Jalil menuju ke Sentul Timur sebelum tren tersebut berhenti di platform Stesen Bandar Tasik Selatan.

“Sewaktu tren tiba, satu kumpulan penyokong bola sepak telah keluar daripada tren dan berlaku pertengkaran dengan kumpulan lain di platform berkenaan. 

“Pertengkaran itu kemudiannya bertukar menjadi pergaduhan melibatkan anggaran 20 hingga 30 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurutnya, mereka bertindak agresif dengan bertumbuk sesama sendiri, membaling tong sampah dan penghadang pintu lif ke arah tren, selain menendang pintu tren sehingga menyebabkan kerosakan pada bahagian pintu kaca.

Beliau berkata, tindakan ganas kumpulan terbabit telah menyebabkan tren terhenti selama lapan minit sebelum keadaan berjaya dikawal oleh pengadu dan anggota bertugas.

“Pergaduhan berjaya dileraikan oleh anggota bertugas serta keadaan kembali terkawal selepas pintu tren ditutup dan tren tersebut meninggalkan lokasi kejadian. Polis bantuan kemudiannya mengiring penyokong terbabit keluar dari stesen dengan selamat,” katanya.

Menurut Aidil, sehingga kini tiada sebarang tangkapan dilakukan, namun siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan melakukan khianat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan. Kita (polis) juga menggesa individu yang terlibat dalam kejadian itu untuk menyerah diri,” katanya.

Sementara itu, video berdurasi 33 saat yang memaparkan rusuhan berkenaan kini tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan warganet. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya