‘Poligami sekadar lakonan, saya percaya suami saya’ - Utusan Malaysia

‘Poligami sekadar lakonan, saya percaya suami saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU sahaja membuka tirai pada awal Disember lalu, drama Berbahagi Suami lakonan Amar Baharin, Elizab Sharifuddin dan Sharifah Husna mula menambat hati penonton setia.

Namun, ramai yang tidak sangka Amar yang sinonim dengan watak lelaki idaman yang setia dan romantik kini membawa watak seorang suami yang mengamalkan poligami.

Melihat kelainan itu, ada juga yang tertanya reaksi isterinya yang juga pelakon, Amyra Rosli ketika Amar menjayakan watak tersebut. Maklumlah, isu poligami ini sensitif bagi sesetengah wanita yang bergelar isteri. Jadi, jawablah Amyra!

Amar ada berlakon drama watak berpoligami. Mungkin ada sesetengah wanita yang bergelar isteri akan kurang senang suami dia bawa watak begitu, Amyra pula bagaimana?

Saya ambil perkara ini sebagai satu perkara yang positif sahaja. Saya anggap itu rezeki dia. Kalau mahu kata saya ini sensitif bila dia melakonkan watak lelaki berpoligami dan curang, tidak.

Saya sebagai pelakon pun ada buat drama begitu juga. Jadi, saya dan dia saling memahami antara satu sama lain, tiada apa pun yang kami bawa balik ke rumah. Kami memang sentiasa akan kongsikan setiap tawaran yang diterima antara satu sama lain.

Tetapi, kami hanya berkongsi sekadar info sudah cukup seperti drama apa, berlakon dengan siapa dan sebagainya. Lagipun, saya percaya dengan Amar.

Dari segi penerimaan tawaran, adakah Amar dan Amyra akan berbincang terlebih dahulu atau membuat keputusan bersama?

Keputusan itu, saya dan Amar sendiri yang akan tentukan sama ada mahu terima atau tidak. Kami pun tidak campur adukkan soal kerja dan peribadi sebab kami berkongsi pengurus yang sama.

Jadi, keputusan itu kami dan pengurus sahaja uruskan memandangkan kami berdua tahu kemampuan kami. Kami memang tidak pernah halang keputusan antara satu sama lain.

Perkara itu kami memang kekalkan selepas berkahwin. Mungkin kerana itu juga kami masih berlakon. Ada sesetengah pelakon selepas berlakon mungkin kerana ada alasan tertentu.

Tapi memandangkan ini punca rezeki kami, jika ada tawaran yang terlalu daring dan membuatkan kami tidak selesa untuk menjayakannya, kami tidak terima.

Adakah Amyra dan Amar memang sebegitu terbuka dan memahami kerjaya antara satu sama lain setiap kali menerima sebarang tawaran?

Ya betul. Kami tidak mahu hancurkan rumah tangga kami dengan perkara remeh. Kami berkenalan sebagai pelakon. Untuk apa kami hentikan semua itu selepas berkahwin? Bagi saya, Amar seorang yang bijak dalam membuat keputusan.

Apa yang buat Amyra positif perkara itu tidak menggoyahkan rumah tangga?

Dugaan itu sentiasa ada tetapi saya berpegang kepada Allah. Apa yang Dia aturkan itu di luar kuasa kita.

Saya selalu berfikiran, bila orang kata saya positif dan terbuka itu kerana saya tidak mahu buat anak-anak stres.

Semua tahu kalau isteri tertekan, anak-anak akan terkena tempiasnya. Jadi, saya anggap sahaja itu ketentuan-Nya. Kalau ada masalah pun kami akan berbincang sampai selesai.

Bila dah lama berkahwin, kami rasa tiada apa yang perlu digaduhkan lebih-lebih lagi melibatkan perihal kerja, soal rezeki.

Saya dan Amar sudah faham bila kita hidup dengan positif bila kita sentiasa bagi motivasi pada diri kita. Secara tidak langsung, satu keluarga akan gembira. Kami juga ada anak-anak, kami mahu tunjuk contoh yang baik.

Apa perkembangan terkini kerjaya Amyra?

Sekarang saya sedang menjalani penggambaran drama yang berjudul, Sekam Di Dada lakonan bersama Datuk Adi Putra. Drama itu akan ditayangkan pada bulan Ramadan di TV3 slot Samarinda. Saya juga masih hos Nona, selebihnya kerja yang melibatkan kempen dan duta.

Melihat kerjaya pengacaraan itu seolah olah sudah menjadi kerjaya utama, antara lakonan dan mengacara mana satu pilihan Amyra?

Saya suka dua-dua sekarang. Dulu lakonan itu memang minat saya, tetapi bila sudah terjun ke dalam bidang pengacaraan ini saya rasa itu satu benda yang baru.

Bila menjadi pengacara, sebagai seorang ibu, masa itu akan lebih banyak. Kalau berlakon, memerlukan masa yang lama di lokasi penggambaran.

Saya suka dua-dua ini kerana boleh mengisi masa saya sekiranya tiada kerja. Saya seorang workaholic, saya kena kerja.

Kalau boleh saya mahu lebarkan lagi bidang pengacaraan ini di mana-mana program. Saya anggap Nona salah satu sekolah untuk saya belajar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya