Polemik tambang feri tamat, fokus TMK25 - Exco

Polemik tambang feri tamat, fokus TMK25 – Exco

MOHD. Salleh Saidin (dua kanan) di samping Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali (dua dari kiri) mengedarkan peralatan kepada peserta Gotong Royong Perdana sempena Tahun Melawat Kedah 2025 di pekan Kuala Kedah, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KEDAH: Kerajaan negeri berharap polemik kenaikan tambang feri tamat susulan jaminan pihak konsortium terlibat untuk tidak menaikkan harga ketika ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, pihaknya melahirkan kebimbangan isu tersebut yang sengaja dimainkan akan menjejas kerancakan promosi Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 25). 

“Alhamdulillah, mereka tarik balik atas nasihat kita dan Kementerian Pengangkutan (MOT). Ini adalah untuk masing-masing berhati-hati kerana dalam setiap tindakan kita, ini menjejaskan usaha kerajaan negeri untuk merancakkan pelancongan Kedah.

“Sebagai kerajaan negeri, kita tidak dibawa berbincang dalam perkara ini (kenaikan tambang feri) dan atas sebab itu saya sebagai Exco sudah bercakap dan memberi nasihat, pandangan dan teguran,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Perasmian Gotong Royong Perdana sempena TMK25, di sini hari ini.

Sebelum ini, Langkawi Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. mengumumkan untuk menaikkan tambang feri antara RM3 hingga RM10.50 bermula 1 Januari, sebelum ia dibatalkan ekoran campur tangan MOT.

Mohd. Salleh berkata, kerajaan negeri juga berharap Kerajaan Persekutuan akan menyegerakan bantuan subsidi kepada pengusaha feri Langkawi bagi menampung kos operasi pengangkutan awam itu yang meningkat ketika ini. 

“Kita berharap Kementerian Pengangkutan juga membantu pengusaha feri dalam apa juga keadaan seperti bantuan subsidi dipercepat kerana ia akan membantu menstabilkan kos operasi perkhidmatan awam itu. 

“Hasil perbincangan dengan pihak konsortium feri ini mereka sudah berjanji kepada kita untuk tidak menaikkan harga tambang feri dan kita berharap benda itu betul-betul tidak naiklah,” katanya.

Sementara itu, kata beliau, persiapan menyambut TMK25 berjalan lancar dengan semua pihak bertungkus lumus bagi promosi kempen. 

“Kita akan melancarkan TMK25 pada 31 Disember ini di Sungai Petani serentak  sambutan Ambang Tahun Baharu. Kita menggunakan pelbagai medium untuk memperhebatkan Kempen TMK25. Kerajaan negeri akan membelanjakan RM3 juta untuk mempromosikan TMK25 selain bantuan tambahan RM1 juta daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya