KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN) mempertikai pelantikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) baharu yang disifatkan bersifat politik semata-mata.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pelantikan Ketua Pengarah Kemas kebiasannya dibuat dalam kalangan penjawat awam dan dalam jabatan itu sendiri.
Bagaimanapun, menurut beliau, kerajaan pada hari ini membuat pelantikan di luar jabatan berkenaan dan melantik individu yang mempunyai kaitan dengan parti politik.
“Ini adalah satu perbuatan durjana pada perkhidmatan awam. Kalau kami, kami tidak buat kerja-kerja (seperti) itu kerana ia adalah jawatan tertutup untuk Kemas, orang dalam (sahaja) mengenali jabatan tersebut.
“(Pelantikan) ini akan menimbulkan masalah (dari segi) kebajikan orang Kemas dan hala tuju jabatan itu akan menjadi berlainan (kerana) kita mengambil orang politik (untuk menerajui Kemas),” katanya semasa sidang akhbar di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Kemas mengumumkan pelantikan Datuk Mohd. Hanafiah Man sebagai Ketua Pengarah baharunya yang berkuatkuasa semalam.
Jawatan tersebut kosong sejak persaraan penyandangnya, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi pada September lalu.
Surat lantikan Mohd Hanafiah yang juga Pengerusi Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) diserahkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Khair Razman Muhamad Anuar pada Jumaat lalu.
Mengulas lanjut, Shahidan menyifatkan perbuatan melantik orang politik kepada jawatan tertentu merupakan satu bentuk perbohongan kepada manifesto parti kerajaan yang dibawa sebelum ini.
“Kami protes pelantikan Ketua Pengarah Kemas, kami nak jawatan tersebut diambil oleh penjawat awam atau orang dalaman jabatan itu sendiri.
“Mintak maaflah Kemas, kamu sudah lupa kami, tidak mahu tengok muka pun tetapi tengok apa mereka (kerajaan) buat? Mereka zalim kamu tapi yang memperjuangkan nasib kamu adalah kami iaitu ahli-ahli Parlimen PN,” ujarnya.-UTUSAN