IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan kerajaan Pusat sebanyak RM1 juta kepada pembangunan Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin di Chemor di sini yang terletak dalam kawasan Parlimennya.
Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin yang berkeluasan lebih dua hektar itu merupakan institusi pendidikan ilmu Islam dan kemahiran bagi golongan warga emas, asnaf, mualaf remaja dan orang dewasa.
Perdana Menteri mengharapkan sumbangan itu dapat membantu pusat pengajian tersebut agar terus berkembang dalam menyampaikan ilmu kepada para pelajar.
Anwar juga menekankan bahawa dalam mencari pengetahuan, ia bukan sekadar menimba ilmu malah turut bertujuan memperbaiki adab dan akhlak.
“Zaman jahiliah itu bukan zaman tiada ilmu. Tetapi ilmu yang ada tidak dapat mendidik, ilmu yang tidak kenal Allah SWT, ilmu yang tidak memperbaiki akhlak dan tidak mengangkat adab,” katanya semasa berucap dalam program kenduri rakyat dan ziarah mahabbah ke Pusat Pengajian At-Taiyyibin di sini hari ini.
Jelasnya, perkara itu adalah asas kepada Madani yang diperkenalkan oleh pentadbirannya sejak menjadi Perdana Menteri.
“Saya tekankan kena betulkan pimpinan. Dasar banyak dah, wang pun banyak dah. Bukan sikit-sikit, berpuluh bilion. Hilang pun banyak juga dah, yang songlap pun banyak juga. Sebab itu kita kata macam mana pun dari segi akhlak dan adab,” katanya.
Beliau juga berkata, adab dan akhlak itu penting untuk apa jua perkara termasuk ketika untuk memberi pandangan.
“Atas nama apa pun, Melayu ke, Islam ke, Malaysia ke. Tidak boleh, ada hadnya, batas akhlaknya,” katanya. – UTUSAN